ATLET bot naga negara ketika beraksi dalam acara Team Boat Racing 200 meter wanita pada Temasya Sukan Asia Jakarta Palembang Ke-18 di Bandar Sukan Jakabaring. -Foto BERNAMA
ATLET bot naga negara ketika beraksi dalam acara Team Boat Racing 200 meter wanita pada Temasya Sukan Asia Jakarta Palembang Ke-18 di Bandar Sukan Jakabaring. -Foto BERNAMA
BERNAMA

PALEMBANG: Pasukan bot naga kebangsaan, yang menyertai acara 200m berpasukan wanita hari ini tidak menyerlah apabila hanya menduduki tempat terakhir dalam Final B, temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, hari ini.

Pasukan negara yang diwakili kelab dari Lembah Klang iaitu KL Barbarians, mencatat satu minit 2.748 saat, jauh ketinggalan dengan pemenang pingat emas, China yang mencatat 56.161 saat.

Pingat perak dimenangi pasukan tuan rumah, Indonesia dengan 56.817 saat dan pingat gangsa diraih pasukan Campuran Korea (Korea Selatan dan Korea Utara) yang merakam masa 56.851 saat.

Ketua pasukan, Lesley Lim Ai Li yang ditemui selepas berakhir aksi pasukan Malaysia hari ini berkata, mereka mendapat pendedahan yang berguna pada aksi sulung dalam temasya kedua terbesar dunia itu.

“Kami datang ke sini (Sukan Asia) atas inisiatif sendiri dan mengeluarkan duit poket masing-masing dan saya rasa ia berbaloi apabila dapat beraksi bersama pasukan terbaik dunia.

“Kami sangat meminati sukan ini...saya berharap dengan penyertaan kami pada kali ini ia dapat meletakkan satu tanda aras buat seluruh rakyat Malaysia untuk menggemari sukan ini dan dapat menaikkan lagi nama sukan kanu atau bot naga ini,” katanya kepada Bernama.

Kru bot naga negara yang rata-ratanya mempunyai kerjaya sendiri berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk melihat sukan berkenaan membuat penampilan di Sukan Asia pada kali ini.

“Saya sangat bersyukur dengan peluang ini dan berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan terus menghantar pasukan bot naga pada Sukan Asia yang akan datang,” katanya yang juga seorang peguam.

Bot naga adalah sukan yang memerlukan disiplin tinggi dan membabitkan 12 orang yang berada di dalam bot iaitu seorang sebagai pemukul gendang, 10 orang pendayung dan seorang lagi di belakang sebagai pengemudi.

Pasukan bot naga wanita negara mempunyai satu lagi aksi iaitu dalam acara 500m esok untuk setidaknya memperbaiki kedudukan yang lebih baik pada penyertaan sulung ini.

Sementara itu, bagi kategori lelaki dalam acara yang sama pula, pasukan kebangsaan menduduki tangga kesembilan daripada 11 negara yang bertanding.

Malaysia mencatat masa 54.955 saat, ketinggalan kepada pemenang pingat emas, China yang mencatat 50.832 saat.

Pingat perak menjadi milik Taiwan dengan catatan masa 51.358 saat dan gangsa diraih Thailand dengan masa 52.622 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 8:00 PM