Shelly-Ann (kanan) melepasi garisan penamat acara 100 meter wanita di Kejohanan Olahraga Dunia di Doha. FOTO Reuters
Shelly-Ann (kanan) melepasi garisan penamat acara 100 meter wanita di Kejohanan Olahraga Dunia di Doha. FOTO Reuters
AFP

RATU pecut Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce memenangi pingat emas keempat dalam acara 100 meter wanita Kejohanan Olahraga Dunia di Doha, awal pagi ini manakala legenda Amerika Syarikat (AS), Allyson Felix memecahkan rekod pungutan pingat emas milik Usain Bolt.

Shelly-Ann dan Allyson, masing-masing kembali ke gelanggang selepas berehat susulan melahirkan anak, memukau pada hari ketiga kejohanan yang berlangsung di Stadium Khalifa itu.

Shelly-Ann, 32, yang tidak mengambil bahagian dalam kejohanan sama pada 2017 susulan melahirkan anak sulungnya, mencatat 10.71 saat untuk menggondol pingat emas.

Atlet Britain, Dina Asher-Smith memenangi pingat perak dengan catatan 10.83 saat manakala bintang Ivory Coast, Marie-Josee Ta Lou memperolehi pingat gangsa menerusi 10.90 saat.

“Saya sangat gembira untuk berada di sini sekali lagi selepas melahirkan anak.” kata Shelly-Ann.

"Atlet wanita terus menyerlah. Kami bangga masih mampu mengekalkan prestasi dan saya amat gembira dengan kemenangan ini.”

Shelly-Ann menjuarai Kejohanan Dunia pada 2009, 2013 dan 2015 sebelum berehat untuk membesarkan anak lelakinya, Zyon yang kini berusia dua tahun.

Allyson Felix (dua kanan) bersama kuarter 4x400m campuran AS yang mencipta rekod dunia menerusi catatan masa 3 minit 09.34 saat. FOTO AFP
Allyson Felix (dua kanan) bersama kuarter 4x400m campuran AS yang mencipta rekod dunia menerusi catatan masa 3 minit 09.34 saat. FOTO AFP

Allyson pula kembali ke gelanggang selepas 13 bulan berehat susulan melahirkan bayi perempuan (Camryn) menerusi pembedahan November lalu.

Allyson, 33, yang gagal melayakkan diri dalam acara 400 meter individu, meraih pingat emas dalam acara 4x400m campuran dengan membantu AS mencipta rekod dunia menerusi catatan masa 3 minit 09.34 saat.

Pingat emas ke-12 Allyson itu memadamkan jumlah pungutan legenda Jamaica, Bolt yang memenangi 11 emas di Kejohanan Dunia.

Secara keseluruhan dia kini sudah mengumpul 26 pingat termasuk enam pingat emas Sukan Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 1:02 PM