ZHENG Yong (tengah) bersama Wilson (kanan) dan Nicholas.
ZHENG Yong (tengah) bersama Wilson (kanan) dan Nicholas.
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Kontinjen negara mempamerkan aksi cemerlang pada hari pembukaan temasya Sukan Universiti Asean (AUG) apabila meraih emas menerusi perenang negara, Low Zheng Yong mengungguli acara 400 meter gaya bebas sebentar tadi.

Pada aksi di kampus Ban Yang Noi Campus, Zheng Yong merakamkan catatan masa 3 minit 59.57 saat sekali gus menewaskan atlet Indonesia, Nicholas Karel Subagyo yang menamatkan saingan ditempat kedua.

Lebih manis lagi, seorang lagi atlet negara Wilson Sim turut berada di kedudukan podium apabila menamatkan aksi di tempat ketiga dengan catatan 4 minit 07.29 saat.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia berjaya mengekalkan pingat emas dimenangi pada edisi 2018 yang berlangsung di Myanmar.

Sementara itu, kategori wanita pula menyaksikan hasrat perenang negara untuk menghadiahkan pingat emas kedua negara tidak kesampaian, selepas Goh Chia Tong menamatkan saingan di kedudukan kedua acara 400 meter gaya bebas.

Chia Tong menamatkan saingan dengan catatan 4 minit 28.51 saat di belakang atlet Singapura Zi Yi Chan yang mengungguli acara terbabit dengan catatan 4 minit 27.58 saat. Gangsa acara itu dimenangi atlet Indonesia, Farmadini Prada Hanan dengan masa 4 minit 28.68 saat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 8:25 PM