DATUK Pandelela Rinong akan mengetuai skuad terjun negara. FOTO ARKIB NSTP
DATUK Pandelela Rinong akan mengetuai skuad terjun negara. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad terjun negara kini dalam persiapan rapi untuk menyapu bersih lapan emas dipertandingkan pada temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam, bulan depan.

Latihan berjalan dengan lancar, namun skuad negara di bawah pimpinan jurulatih dari China, Li Rui berdepan kekangan dengan venue pertandingan Pusat Renang My Dinh yang dilaporkan baru saja siap.

Justeru, pengurus pasukan, Datuk Leong Mun Yee berharap, skuad negara diketuai pemenang pingat perak temasya Olimpik Rio dalam acara 10 meter (m) platform seirama, Datuk Pandelela Rinong dapat berlepas lebih awal bagi membolehkan mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan.

"Persediaan semua berjalan dengan lancar, tapi sebagai pengurus pasukan saya rasa kita kena uji venue pertandingan lebih awal.

"Venue di sana baru, papan pun baru, jadi kita kena uji. Kalau boleh kena pergi awal beberapa hari untuk uji papan anjal itu sebab dalam terjun ini apa-apa boleh berlaku, jadi memang kena uji betul-betul," katanya.

Sementara itu, penerjun negara, Muhammad Syariq Puteh turut menyokong pandangan Mun Yee bagi memastikan skuad negara dalam keadaan bersedia sepenuhnya.

Skuad terjun negara akan berlepas ke Hanoi dua hari sebelum tirai pertandingan dibuka dari 12 hingga 23 Mei dan hanya mempunyai satu hari setengah untuk mencuba peralatan di venue pertandingan.

"Memang kalau nak ikutkan, satu hari setengah itu tak cukup terutama untuk saya sebagai atlet papan anjal menguji papan dan nak rasa kesejukan kolam itu.

"Situasi itu boleh mengganggu persembahan atlet," katanya yang akan beraksi dalam 3m papan anjal individu.

Barisan Atlet Terjun

Lelaki: Chew Yiwei, Ooi Tze Liang, Syafiq Puteh, Jellson Jabillin, Hanis Nazirul Jaya Surya, Enrique MacCartney Harold and Bertrand Rhodict

Wanita: Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng, Ong Ker Ying, Kimberly Bong

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 6:25 PM