PANDELELA (kiri) dan Dhabitah diharap mampu menempah slot ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
PANDELELA (kiri) dan Dhabitah diharap mampu menempah slot ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengharapkan sekurang-kurangnya empat atau lima lagi penerjun negara berjaya menempah slot ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, bermula Jumaat ini.

Pengarah teknikal terjun MAS, Bryan Nickson Lomas berkata, sandaran itu diletakkan kepada penerjun berpengalaman negara, Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng dan Ooi Tze Liang.

Bryan berkata, kejohanan di Doha itu adalah peluang terakhir buat penerjun negara melayakkan diri ke Paris 2024.

"Kami berharap untuk empat atau lima lagi penerjun layak ke Paris 2024, ini tidak termasuk Bertrand Rhodict Lises yang sudah layak.

"Buat masa ini, pingat bukan keutamaan kita, tapi misi utama adalah untuk melayakkan diri terlebih dahulu.

"Sandaran utama kita pastinya menerusi penerjun berpengalaman seperti Pandelela, Dhabitah, Wendy, Tze Liang dan Syafiq Puteh.

"Bagaimanapun, beberapa penerjun muda turut mempunyai peluang 50-50 untuk layak," katanya.

Untuk melayakkan diri ke Paris 2024, penerjun negara perlu menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik dalam acara individu dan empat teratas dalam acara seirama.

Bryan berkata, Dhabitah yang mengalami kecederaan pergelangan tangan tahun lalu, akan beraksi dalam acara 10 meter (m) platform wanita seirama bersama Pandelela, 3m papan anjal seirama dengan Wendy serta 3m papan anjal individu.

Manakala Tze Liang dan Syafiq akan bergandingan dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki dan turut bersaing dalam acara 3m papan anjal individu.

Barisan skuad negara

Lelaki: Ooi Tze Liang, Syafiq Puteh, Gabriel Gilbert Daim, Hanis Nazirul Jayasurya, Jellson Jabillin, Bertrand Rhodict Lises, Enrique Maccartney Harold.

Wanita: Pandelela Rinong, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri, Kimberly Bong, Ong Ker Ying, Nur Elisha Rania Muhammad Abrar Raj.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 4:17 PM