PEMAIN Albania, Nedim Bajrami meraikan gol terpantasnya ketika menentang Itali. FOTO Agensi
PEMAIN Albania, Nedim Bajrami meraikan gol terpantasnya ketika menentang Itali. FOTO Agensi
AFP

Dortmund, Jerman: Nama pemain sayap Albania, Nedim Bajrami secara tiba-tiba meletup selepas dia meledak gol terpantas dalam sejarah Euro apabila meledak selepas 23 saat aksi ditiupkan ketika pasukannya menentang Itali, awal pagi tadi.

Jaringan itu cukup pantas dan ia meleburkan rekod terdahulu milik pemain Rusia, Dmitri Kirichenko yang dilakukan pada saingan Euro 2004 lalu.

Dalam aksi itu, Kirichenko memerlukan 67 saat ketika pasukannya menentang Greece yang menyaksikan ia kekal selama 20 tahun sebelum 'dileburkan' Bajrami.

Untuk rekod, Bajrami beraksi buat kelab Sassuolo dalam liga Itali melepaskan satu rembatan padu yang berjaya menerjah jaring sekaligus mengejutkan ribuan penyokong skuad Azzuri.

Begitupun, Itali yang juga juara bertahan bertindak pantas untuk menyamakan kedudukan menerusi Bastoni pada minit ke-11 sebelum Nicolo Barella meledak gol kemenangan pada minit ke-16.

Malah berdasarkan rekod, situasi gol pantas lawan ini adalah yang kedua berturut-turut selepas Itali dikejutkan dengan gol terpantas ketika menentang England pada Euro 2020 edisi lalu.

Ketika itu, Luke Shaw meletakkan England di depan selepas hanya satu minit dan 56 saat untuk menjadi jaringan keenam terpantas dalam pertandingan itu.

Namun semangat juang pemain Itali menyaksikan mereka memenangi aksi itu menerusi penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 6:47 AM