SHAHRUL Zaman (kiri) berbual dengan penerjun negara ketika sesi lawatan bersama penerjun negara di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.
SHAHRUL Zaman (kiri) berbual dengan penerjun negara ketika sesi lawatan bersama penerjun negara di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya amat yakin kemampuan penerjun negara dan tidak teragak-agak meletakkan sukan terjun dalam senarai pungutan emas.

Beliau berkata, keyakinan itu disuarakan berdasarkan prestasi dipamerkan dua atlet negara iaitu Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri ketika menyertai Kejohanan Terjun Dunia di Budapest, Hungary, baru-baru ini.

Kejayaan Pandelela menyumbang dua gangsa menerusi acara 10 meter (m) platform individu serta 10m platform seirama bergandingan bersama Dhabitah dan berdasarkan ranking, acara terjun mampu menjadi sebahagian daripada penyumbang pingat buat negara di Birmingham 2022 nanti.

"Berdasarkan apa dilakukan atlet negara di Kejohanan Dunia, ranking penerjun wanita negara adalah yang tertinggi dalam senarai negara Komanwel.

"Jadi saya harap sangat dua atlet negara iaitu Pandelela dan Dhabitah dapat mengulangi pencapaian mereka di Komanwel Birmingham 2022 nanti," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan bersama penerjun negara di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas mengenai sasaran, Shahrul Zaman menegaskan, belum ada sasaran rasmi pingat negara di temasya itu selepas penarikan diri pemain badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan ketiadaan atlet skuasy wanita, S Sivasangari akibat kemalangan.

Katanya, perkara itu akan dinilai semula dan diumumkan selepas mesyuarat bersama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 15 Julai ini.

"Sasaran akan diumumkan pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen pada 19 Julai ini selepas mesyuarat bersama MSN, MOM dan KBS.

"Untuk pengetahuan sasaran pingat dibuat berdasarkan unjuran persatuan sukan berdasarkan apa yang mereka rasa boleh dapat (emas).

"Jadi unjuran itu dibuat berdasarkan persatuan sukan dan bukan kami yang menentukannya kerana kami mengambil kira pendapat daripada persatuan sukan, tapi itu tidak bermakna kami menidakkan kemampuan atlet negara," katanya.

Di Birmingham 2022, skuad terjun negara akan dibarisi 12 atlet yang semuanya atlet mewakili negara di Sukan Sea ke-31 di Hanoi, Vietnam, Mei lalu.

Untuk rekod, pada aksi di Gold Coast 2018 skuad terjun menghadiahkan satu emas menerusi acara 10m platform seirama menerusi Cheong Jun Hoong dan Pandelela.

Skuad terjun turut meraih gangsa dalam acara sama menerusi Datuk Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah selain satu lagi gangsa menerusi Mun Yee-Dhabitah dalam acara 3m papan anjal seirama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 7:21 PM