DHABITAH ketika beraksi dalam 3m papan anjal individu di KL2017. - Foto OSMAN ADNAN
DHABITAH ketika beraksi dalam 3m papan anjal individu di KL2017. - Foto OSMAN ADNAN
Aida Adilah Mat


TIADA istilah rehat buat penerjun negara Nur Dhabitah Sabri selepas tamat temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan dua kejohanan utama akan menjadi penanda aras untuk menguji kemampuannya.

Meraih satu emas dalam acara 3 meter terjun seirama bergandingan dengan Wendy Ng dan perak dalam acara 3m papan anjal individu di KL2017, Dhabitah berkata, fokus utamanya adalah untuk memberi yang terbaik pada kejohanan Grand Prix di Kuala Lumpur hujung bulan depan.

Selain itu satu lagi kejohanan penting adalah Grand Prix di Gold Coast iaitu gelanggang temasya Sukan Komanwel tahun depan.

Justeru latihan giat dijalankan dan penerjun negara dijangka akan kembali berkampung di China selepas ini.

“Buat ketika ini kami akan berlatih dulu di sini dan akan kembali ke China untuk menjalani latihan namun belum dimaklumkan tarikhnya.

“Selain latihan saya juga mahu memberi tumpuan kepada pelajaran dan jika boleh mahu meneruskan pengajian ke peringkat universiti,” katanya.

Mengulas mengenai kecederaan yang dialaminya ketika temasya KL2017, Dhabitah berkata, ia semakin pulih dan berharap menjelang Grand Prix KL nanti semuanya akan kembali seperti biasa.

Skuad terjun negara menamatkan saingan di KL2017 dengan noktah gemilang apabila menyapu bersih semua 13 emas yang ditawarkan selain merangkul lima perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 3:06 PM