ZURAIDIN (tengah) menyifatkan perkembangan terbaharu ini sebagai mendukacitakan. FOTO Ihsan Gastak
ZURAIDIN (tengah) menyifatkan perkembangan terbaharu ini sebagai mendukacitakan. FOTO Ihsan Gastak
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Menurut presidennya, Zuraidin Abdullah dalam surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh bertarikh hari ini menyifatkan tindakan yang dikenakan Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) ke atas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail dan pengurusan badan induk itu sebagai sesuatu yang menjejaskan nama baik dan Malaysia secara amnya.

"Sebagai anggota gabungan, adalah menjadi pendirian yang tidak berbelah bahagi bagi Gastak selama ini untuk bekerjasama dan memberi sokongan penuh terhadap apa jua program dan acara-acara anjuran PSM demi pembangunan sukan sepak takraw negara," kata Zuraidin dalam surat berkenaan.

Ujar beliau, Gastak menyifatkan perkembangan terbaharu ini sebagai mendukacitakan dan merasa kecewa dengan pendekatan yang diambil oleh PSM dalam menangani isu dengan sebuah badan sukan peringkat Asia seperti Astaf.

Pada 5 Mei lalu, Ahmad dikenakan hukuman penggantungan selama 15 tahun manakala pengurusan PSM digantung sementara pada 28 April lalu.

"Kami sudah membincangkan keputusan Astaf secara terperinci dan mengambil pendirian bahawa hubungan yang keruh antara PSM dan Astaf akan menjejaskan pembangunan sukan sepak takraw, merencatkan kerjasama serta peluang di peringkat antarabangsa.

"Sehubungan itu, Gastak dengan berat hati sudah membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan PSM dan selanjutnya akan mengambil langkah-langkah susulan dan tindakan untuk mengembalikan maruah serta pembangunan sukan sepak takraw di segenap peringkat," katanya.

Ahmad turut didenda sebanyak AS$25,000 (RM102,937) bagi menampung kos perbicaraan yang berlangsung secara maya dan dihadiri wakil dari India, Iran, Jepun dan Pakistan.

Sekiranya gagal, Ahmad bakal dikenakan hukuman penggantungan tambahan dua tahun dan beliau didakwa atas empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang Astaf dengan menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mereka akan campur tangan terhadap keputusan pemilihan Astaf 1 Mac lalu.

Sebelum itu, Astaf mengambil tindakan menggantung sementara PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu yang berkuat kuasa serta-merta, atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Dalam surat tunjuk sebab kepada PSM, badan induk sukan sepak takraw Malaysia itu turut didakwa melakukan fitnah terhadap kepimpinan dan Majlis Eksekutif Astaf serta organisasi Astaf secara keseluruhan berdasarkan kenyataan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail mengenai pemilihan Astaf.

PSM diberi tempoh 14 hari untuk menjawab dakwaan berkenaan selain berdepan kemungkinan disingkirkan daripada Astaf sekiranya didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 4:28 PM