SUMALI (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa PSM selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PSM bagi penggal 2022-2025, 12 Februari lalu. FOTO Bernama
SUMALI (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa PSM selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PSM bagi penggal 2022-2025, 12 Februari lalu. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi

my

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan akan mempertahankan badan induk itu daripada ditindas dan dizalimi selepas disingkirkan sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) semalam.

Menurutnya, keputusan yang dibuat Istaf itu sememangnya sudah dijangka memandangkan badan induk berkenaan diurus tadbir oleh individu yang sama dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

"Walaupun Astaf dan Istaf entiti berbeza, tetapi diurus tadbir oleh orang yang sama. Sudah pastilah PSM akan dapat keputusan yang sama. Ini memang saya jangka dan saya hanya mengikut proses sebelum tindakan selanjutnya kita ambil," katanya.

Menurut Sumali, badan induk antarabangsa itu tidak memberi ruang langsung untuk bertemu dan berbincang dengan kepimpinan PSM yang baharu.

"Malah, sebelum ini Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader memaklumkan kepada saya, PSM harus mengemukakan permohonan menjadi ahli gabungan baharu Astaf bukan surat rayuan. Kita akur dan hantar surat permohonan baharu termasuklah saya menyelesaikan denda yang dikenakan Astaf sebelum ini.

"Rupa-rupanya, indah khabar dari rupa, hanya permainan politik dan sengaja beri harapan untuk tujuan tertentu. Biarlah mereka dengan cara dan keputusan yang mereka rasa betul, PSM juga ada pandangan yang berasa PSM betul.

"Saya tidak akan membiarkan PSM ditindas dan dizalimi. Saya bukan pertahankan diri saya, saya pertahankan PSM," katanya.

Kelmarin, Istaf memberikan tamparan baharu kepada PSM apabila menyingkirkan badan induk itu sebagai ahli gabungan berkuat kuasa serta merta.

Menerusi surat bertarikh 21 Mac 2022 yang dihantar Timbalan Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh, beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif Istaf sudah meneliti laporan dikemukakan Astaf yang menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan pada 20 Mei tahun lalu.

Katanya, Jawatankuasa Eksekutif Istaf berpandangan bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail dan PSM jelas melanggar aku janji yang dimeterai pada 14 Mac 2008.

Mengulas lanjut, Sumali berkata, peguam yang dilantik oleh PSM sudah pun memulakan kerja mereka dan akan mengikut proses seterusnya bagi mencabar keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof yang meluluskan pendaftaran Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai entiti baharu badan sukan sepak takraw kebangsaan.

"Surat kepada PJS pun sudah kita hantar sebelum ini. PSM tidak akan membuang masa lagi untuk berbincang isu ini. Biar mahkamah menentukan.

"Fokus PSM untuk membangunkan sukan sepak takraw akan diteruskan, terutama bagi menghadapi Sukan Sea dan Sukan Asia yang akan datang," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 6:10 PM