Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) berhubung hutang berjumlah AS$15,000 (RM62,700) iaitu kos sesi pendengaran panel disiplin dikenakan terhadap badan induk sepak takraw negara selepas didapati melanggar peraturan ditetapkan oleh Astaf.

"Mengenai denda yang dikenakan ke atas PSM oleh Astaf, perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pihak Astaf untuk tindakan selanjutnya," kata Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Jelas Sumali, surat daripada Astaf yang dihantar kepada PSM semalam adalah satu prosedur biasa yang memberikan gambaran bahawa tindakan susulan yang perlu dibuat oleh PSM untuk permohonan menjadi ahli gabungan dan bukannya rayuan seperti mana yang dilakukan sebelum ini.

"Susulan itu, PSM sudah mengemukakan surat permohonan menjadi ahli gabungan serta dokumen-dokumen sokongan seperti yang terkandung di dalam perlembagaan Astaf.

"Antaranya termasuklah perlembagaan yang sudah dipinda, senarai ahli gabungan dan bersekutu serta pengiktirafan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) ke atas PSM sebagai badan induk kebangsaan," katanya.

Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader menerusi laporan semalam berkata, pihaknya masih lagi dengan pendirian bahawa PSM bukan sebahagian daripada badan induk sepak takraw Asia itu.

Beliau berkata, perbincangan lanjut atau pertimbangan untuk menyenaraikan kembali PSM di bawah naungan Astaf hanya dilakukan selepas badan induk sepak takraw Malaysia itu membayar denda yang dikenakan kepada mereka.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan bahawa PSM di bawah kepimpinan Sumali tidak akan berdiam diri sebaliknya akan berusaha keras bagi memulihkan hubungan dengan Astaf.

Pendirian mereka itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi pertama di bawah kepimpinan baharu yang berlangsung secara atas talian.

Untuk rekod, PSM digugurkan keahlian daripada Astaf dalam satu sesi pendengaran secara maya yang dihadiri panel antaranya dari India, Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand pada 20 Mei tahun lalu lalu.

PSM dikenakan tindakan membayar denda berkenaan berikutan tindakan bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) 24 Februari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 4:57 PM