Benjamin Whittaker dari Britain (kanan) melakukan tumbukan ke arah jaguh Cuba, Arlen Lopez dalam final kategori light-heavyweight. FOTO EPA
Benjamin Whittaker dari Britain (kanan) melakukan tumbukan ke arah jaguh Cuba, Arlen Lopez dalam final kategori light-heavyweight. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Jaguh Cuba, Arlen Lopez memenangi pingat emas kedua Olimpik buat negaranya dalam acara tinju selepas menewaskan jaguh Britain, Ben Whittaker dalam final kategori light-heavyweight lelaki di Tokyo.

Lopez, 28, yang memenangi emas middleweight di Sukan Olimpik Rio 2016, mencatat kemenangan dalam pertarungan sengit, selepas mempamerkan serangan agresif dalam aksi tiga pusingan.

Lopez melutut dan tunduk ke lantai apabila namanya diumumkan sebagai pemenang sementara Whittaker segera meninggalkan gelanggang dalam keadaan menutup mukanya dengan tangan.

Whittaker, 24, ternyata gagal beraksi baik dalam pertarungan yang berlangsung di Kokugikan Arena, gelanggang yang dikenali sebagai venue acara sumo yang juga sukan tradisi Jepun.

Lopez yang lebih berpengalaman menguasai pertarungan dari pusingan pertama, sehingga menyebabkan Whittaker terpaksa bertahan dari serangan lawannya itu.

Lopez, bekas juara dunia middleweight, terus mempamerkan penguasaan dalam pusingan kedua dan ketiga untuk memperoleh mata yang diperlukan.

Cuba adalah negara gergasi dalam acara tinju di Olimpik, setakat ini memenangi dua daripada tiga emas dalam acara sukan itu di Tokyo. Satu lagi dimenangi oleh Jepun.

Semalam, Roniel Iglesias mencetak namanya dalam senarai sejarah tinju Cuba di Olimpik selepas memenangi final welterweight sekali lagi berdepan petinju Britain.

Ia adalah pingat ketiga Olimpiknya - termasuk emas di London 2012 dan gangsa di Beijing 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 8:07 PM