REAKSI Yang selepas memenangi emas pertama di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
REAKSI Yang selepas memenangi emas pertama di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Penembak China, Yang Qian memenangi pingat emas pertama Olimpik Tokyo hari ini menerusi kemenangan dramatik ke atas lawan dari Russia, Anastasiia Galashina dalam acara final 10 meter air rifle wanita.

Yang meraih emas dan mencipta rekod Olimpik dengan catatan 251.8 mata, mengatasi Anastasiia yang meraih 251.1 mata manakala penembak Switzerland, Nina Christen gangsa dengan catatan 230.6 mata.

Anastasiia dilihat hampir pasti memenangi pingat emas tetapi dia sekadar mencatat 8.9 mata pada tembakan terakhir sekali gus menyaksikan Yang memenangi emas.

Acara itu berlangsung pada sebelah pagi selepas upacara pembukaan Olimpik yang tertangguh selama setahun dan mendapat bantahan keras rakyat Jepun.

Sempena pingat emas pertama itu, Yang menerima pingat berkenaan daripada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach.

Yang mengalungkan sendiri pingat emas itu di lehernya selepas mengambilnya di atas dulang yang diberikan Bach sebagai mengikuti protokol Covid-19.

Dengan penyokong tidak dibenarkan menyaksikan acara itu, hanya sebahagian kecil kakitangan China memberi sokongan kepada Yang selepas kemenangan dramatik itu.

Nina meraih gangsa selepas mengatasi penembak Norway, Jeanette Hegg Duestad, yang sebelum itu mengatasinya di pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 11:18 AM