JENNIFER Lopez akui perpisahan dengan  Marc Anthony kekecewaan paling besar dalam hidup.
JENNIFER Lopez akui perpisahan dengan Marc Anthony kekecewaan paling besar dalam hidup.
Susunan Michelle Gun

Penyanyi dan pelakon popular Amerika Syarikat, Jennifer Lopez mendedahkan perpisahan dengan bekas suami Marc Anthony adalah kekecewaan terbesar dalam hidupnya.

Lopez, 46, bercerai dengan Anthony, 47, yang juga penyanyi terkenal pada 2012 selepas tujuh tahun hidup bersama.

Penyanyi itu memberitahu majalah People dia berusaha memastikan hubungannya dengan Anthony kekal selepas gagal dalam dua perkahwinan terdahulu.

“Perpisahan itu menyakitkan hati dan saya melalui saat yang teruk. Saya dengan Marc fikir perkahwinan kami akan kekal selama 40 tahun atau hingga akhir hayat kami,” katanya.

Pun begitu, juri program realiti American Idol itu mengakui perpisahan dengan Anthony adalah keputusan terbaik baginya.

Lopez dan Anthony dikurniakan anak kembar Maximilian David dan dan Emme Maribel yang kini berusia lapan tahun.

Menurut Lopez, kehadiran cahaya mata lelaki dan perempuan memberi sinar baru hidupnya.

“Hidup saya mula berubah selepas melahirkan anak. Kehadiran mereka memberi hala tuju baru dalam hidup saya,” katanya.

Menginginkan kehidupan sempurna bagi keluarganya, Lopez berkata, anak-anak menjadi inspirasi dalam penghasilan muzik.

“Sejak menjadi ibu, saya sering mempersoalkan mengenai diri sendiri, percintaan serta apa yang baik dan buruk kerana mahu terbaik untuk anak-anak,” katanya.

Masih mengekalkan hubungan baik dengan bekas suaminya, Lopez sentiasa mengingatkan anak-anak bahawa Anthony menyayangi mereka.

“Sebagai ibu menjadi tanggungjawab saya memastikan anak-anak tidak meragui kasih sayang bapa mereka.

“Marc juga melakukan perkara sama apabila saya bekerja,” katanya.

Lopez mendirikan rumah tangga dengan suami pertama Ojani Noa pada 1997, namun mereka bercerai setahun kemudian.

Perkahwinan Lopez dengan pelakon Cris Judd pada 2001 juga tidak kekal lama apabila berpisah pada 2003.

Penyanyi itu kini bercinta dengan penari Casper Smart, 28, manakala Anthony sudah mendirikan rumah tangga dengan Shannon De Lima pada 2014.

Lopez memaklumkan dia dan Smart belum merancang untuk berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 12:01 PM