AHMAD Ismail didakwa tidak mengikut perjanjian untuk mematuhi objektif Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan perlembagaan Astaf. FOTO Bernama
AHMAD Ismail didakwa tidak mengikut perjanjian untuk mematuhi objektif Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan perlembagaan Astaf. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) melalui Jawatankuasa Eksekutifnya sebulat suara memilih untuk meneruskan prosiding tatatertib terhadap Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kerana melanggar perjanjian.

Menurut Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat, PSM dan presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail atau Tok Mat tidak mengikut perjanjian untuk mematuhi objektif Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan perlembagaan Astaf.

"Sebagai pertimbangan atas perjanjian yang diberikan oleh Ahmad dan PSM, Istaf menarik penggantungan berkenaan namun di atas tindakan atau kata-kata bertulis daripada presiden (Ahmad) mengenai pemilihan Astaf baru-baru ini ia jelas PSM sudah melanggar perjanjian," kata Boonchai melalui satu surat kepada PSM.

Menurut Astaf, PSM juga sudah melakukan fitnah terhadap kepimpinan dan Majlis Eksekutif Astaf serta organisasi Astaf secara keseluruhan.

"Jawatankuasa Eksekutif Astaf sebulat suara memilih untuk meneruskan prosiding tatatertib terhadap PSM kerana melanggar perjanjian.

"Tuduhan yang dikenakan terhadap PSM di bawah prosedur tatatertib sesuai yang mereka ketahui. PSM mempunyai 14 hari dari tarikh penerimaan surat ini dan lembaran pertuduhan yang dilampirkan untuk memberi jawapan secara bertulis terhadap pertuduhan ini.

"Selepas Jawatankuasa Tatatertib Astaf menerima jawapan bertulis dari PSM, kami akan mengadakan perbicaraan dan PSM perlu menunjukkan sebab mengapa mereka tidak boleh dikeluarkan dari Astaf atau menghadapi sekatan lain," kata Boonchai.

Disebabkan ini bukan kali pertama tuduhan tatatertib dikenakan terhadap PSM, beberapa bentuk hukuman boleh dikenakan jika didapati bersalah di atas salah satu tuduhan yang dikenakan.

"PSM digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan dengan sepak takraw. Kami menunggu jawapan bertulis daripada PSM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 6:38 PM