Wan Mohd Husni Abdullah. FOTO File NSTP
Wan Mohd Husni Abdullah. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: "Saya akan merayu," jelas pengurus pasukan wanita ke Sukan Sea 2019, Wan Mohd Husni Abdullah berhubung hukuman penggantungan lima tahun yang dijatuhkan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Menurutnya, buat masa sekarang beliau tidak boleh hendak memberi sebarang komen lain dan tidak tahu untuk bercakap apa kecuali boleh menyatakan bakal membuat rayuan di atas hukuman yang dikenakan terhadapnya.

"Saya akan merayu, itu saja. Merayu mengikut prosedur yang betul dan dikehendaki. Memang terkejut (dengan hukuman yang dikenakan)," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Ujar Wan Mohd Husni yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan, selepas rayuan dibuat beliau hanya menunggu apa langkah seterusnya oleh Astaf dan sama seperti individu lain, sudah tentu mahu melihat hukuman berkenaan dikurangkan.

"Siapa saja akan berharap begitu (hukuman dikurangkan) sebab kita tidak jangka," katanya yang didakwa meluru ke arah pengadil Roy Fabay dan melontarkan perkataan tidak sopan ketika aksi final regu lelaki membabitkan Malaysia dan Thailand.

Semalam, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan mengutuskan surat kepada Astaf minggu depan bagi meminta penjelasan lanjut berhubung hukuman penggantungan lima tahun terhadap Wan Mohd Husni.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail menegaskan pihaknya akan berbincang bersama peguam untuk meminta dokumen penting berhubung keputusan itu kepada Astaf, sebelum mengeluarkan surat rasmi penggantungan kepada Wan Mohd Husni seperti diminta badan induk sepak takraw Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 5:42 PM