Wan Mohd Husni Abdul
Wan Mohd Husni Abdul
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) mengesahkan bahawa penggantungan terhadap Pengurus Pasukan Wanita di Sukan Sea Filipina yang lalu, Wan Mohd Husni Abdul ditamatkan berkuat kuasa pada jam 1 pagi 26 Ogos.

Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu bahawa pihaknya bersetuju menamatkan penggantungan berkenaan selepas menerima surat rayuan daripada Husni.

Halim berkata, Majlis Eksekutif Astaf yang bermesyuarat baru-baru bersetuju menamatkan penggantungan selama lima tahun bagaimanapun persetujuan berkenaan berserta dua bersyarat yang perlu dipatuhi Husni.

"Ada dua syarat yang dia perlu patuhi iaitu dia perlu berjanji tidak akan mengulangi kelakuan itu dan akan sentiasa mematuhi segala undang-undang serta peraturan Astaf dan Istaf (Persekutuan Sepak Takwar Antarabangsa) pada masa hadapan.

"Kedua, dia perlu akur diatas larangan penyertaan ke Sukan Sea di Vietnam," katanya.

Husni sebelum ini digantung tugas selama lima tahun atas kesalahan disiplin gara-gara berkelakuan agresif ketika membantah keputusan pengadil pada temasya Sukan Sea 2019 di Filipina.

Dia didakwa meluru ke arah pengadil Roy Fabay dan melontarkan perkataan tidak sopan ketika aksi final regu lelaki membabitkan Malaysia dan Thailand.

Halim berkata, Husni mempunyai minat tinggi dalam sukan sepak takraw yang wajar mendapat peluang kedua demi perkembangan sukan ini di Malaysia dan dunia secara amnya.

Selaku Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (PESTANS) yang termuda dia pastinya akan mampu menyumbang dan memberi komitmen yang lebih hebat kepada pembangunan sukan sepak takraw Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:33 PM