WAN Mohd Husni Abdullah. FOTO ARKIB NSTP
WAN Mohd Husni Abdullah. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) hari ini menarik semula pelepasan penggantungan ke atas Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan, Wan Mohd Husni Abdullah.

Ia susulan tindakan Wan Mohd Husni yang dikatakan melanggar peraturan Astaf apabila memburukkan nama badan induk itu.

Perkara itu berlaku pada 8 April lalu di pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) ketika pertemuan di antara wakil Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan wakil Malaysia Sepaktakraw Confederation (MSC) bersama PJS.

Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan berkata, satu mesyuarat bersama ahli jawatankuasa dilakukan, hari ini dan memutuskan tindakan disiplin dan pelepasan penggantungan diberikan itu ditarik semula.

Beliau berkata, mulai 23 Jun 2022, Wan Mohd Husni dikenakan hukuman penggantungan semula hingga tamat tempoh penggantungan lima tahun yang dijatuhkan ke atas beliau mulai 9 Disember 2019 hingga 8 Disember 2024.

"Wan Mohd Husni ketika itu mendakwa Presiden Astaf melakukan kerja berseorangan dan tidak mengikut peraturan.

"Menurut Wan Mohd Husni segala tindakan dikenakan ke atas PSM adalah angkara tindakan bersendirian presiden Astaf.

"Dia membuat tohmahan bahawa tiada sebarang mesyuarat diadakan ketika mengambil tindakan menyingkirkan PSM daripada ahli gabungan Astaf," katanya.

Sebelum ini, Wan Mohd Husni dikenakan tindakan penggantungan oleh Astaf atas kesalahan dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan pada temasya Sukan Sea 2019 di Filipina.

Tindakannya itu amat biadab dan mencemarkan reputasi sukan sepak takraw lebih-lebih lagi dilakukan sewaktu perlawanan akhir yang disiarkan secara langsung di televisyen ke seluruh negara Asean.

Beliau digantung selama lima tahun atas tindakannya cuba menyerang dan memaki pengadil yang mengadili perlawanan antara regu di antara Malaysia dan Thailand.

Penggantungan itu ditarik balik pada 26 Ogos 2021 selepas beliau mengemukakan rayuan dan dilepaskan dengan syarat tertentu.

Namun, dengan berkuatkuasanya penggantungan semula ke atasnya, dia dilarang terbabit dengan apa juga kegiatan dan aktiviti berkaitan sukan sepak takraw di dalam dan luar negara serta tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan sukan berkaitan sepak takraw atau lainnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 3:26 PM