WAN Mohd Husni akan mendapatkan pandangan peguam dan PSM bagi mempertimbangkan tindakan laporan polis. FOTO NSTP
WAN Mohd Husni akan mendapatkan pandangan peguam dan PSM bagi mempertimbangkan tindakan laporan polis. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestan), Wan Mohd Husni Abdullah menegaskan bahawa pihaknya akan mendapatkan pandangan peguam dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di atas campur tangan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dalam sukan sepak takraw negara.

Husni dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Pestan dan ahli gabungan PSM akan terus kukuh mempertahankan hak memilih dalam berpersatuan selaras dengan Perlembagaan Negara Malaysia Perkara 10: Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Justeru tindakan Astaf mencampuri urusan dalaman negara kini khususnya dalam sepak takraw perlu ditangkis oleh semua penggiat dan peminat sukan itu.

"Saya akan mendapatkan pandangan peguam dan PSM bagi mempertimbangkan tindakan laporan polis berkaitan kebocoran maklumat mesyuarat tertutup agensi kerajaan kepada warga negara asing.

"Saya menganggap kebocoran ini adalah satu perkara yang perlu dipandang serius memandangkan ia membabitkan kedaulatan negara," kata Wan Husni dalam satu kenyataan.

Husni memaklumkan perkara itu menjawab kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden Astaf, Datuk Halim kader berhubung penarikan balik pelepasan penggantungan terhadapnya.

Husni berkata, tindakan Astaf yang menarik balik pelepasan penggantungan terhadapnya adalah kerana ingin menutup kesalahan yang dilakukan oleh Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC).

Isu MSC kini hangat diperkatakan apabila mereka melakukan kesalahan pelanggaran perlembagaan badan induk itu sendiri yang mendapat pengiktirafan Astaf.

"Saya memegang jawatan sebagai presiden Pestan dan bernaung di bawah PSM. PSM disingkirkan oleh Astaf pada 20 Mei dan kemudian mereka iktiraf MSC sebagai ahli gabungan walaupun tidak menepati syarat dalam perlembagaan Astaf sendiri,

"Maknanya tiada lagi hubung kait di antara saya dan Astaf yang membolehkan penggantungan saya dianggap sah.

"Malah PSM adalah satu-satu persatuan yang diiktiraf oleh MOM bagi membawa pasukan ke Sukan Sea dan Sukan Asia,

"Oleh yang demikian saya atau mana-mana ahli bawah PSM masih boleh terbabit secara langsung dalam pembangunan sukan negara atau mana-mana ahli di bawah PSM di kejohanan berkenaan kerana Astaf/Istaf hanya berfungsi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 3:13 PM