ABDUL Halim (kiri) menggesa PSM melucutkan semua jawatan Husni. FOTO NSTP
ABDUL Halim (kiri) menggesa PSM melucutkan semua jawatan Husni. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) boleh dikenakan tindakan tatatertib jika masih lagi enggan mematuhi arahan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) berkaitan hukuman terhadap Pengurus Pasukan Sepaktakraw Wanita Malaysia, Wan Mohd Husni Abdullah.

Presiden ASTAF Abdul Halim Kader dalam kenyataan kepada media memaklumkan bahawa Husni sudah mengaku salah berhubung tindakannya yang melanggar undang-undang melalui surat yang dihantar kepada badan induk sepaktakraw asia itu.

Beliau berkata, penggantungan lima tahun sudah pun dikenakan dan sewajarnya semua jawatan Husni dilucutkan serta merta berdasarkan perlembagaan PSM Fasal 40 dan 41.

"Astaf mengeluarkan surat kepada Husni bertarikh 19 Mac lalu dengan memberi peluang kepada beliau membuat rayuan selama 14 hari tetapi tarikh rayuan belum tamat. Astaf menggesa PSM melucutkan semua jawatan Husni dalam PSM dan juga sebagai Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan adalah dianggap tidak wajar dan berlandaskan fakta tepat.

"Cumanya pihak Astaf belum lagi memutuskan sama ada tempoh penggantungan ke atas beliau akan dilepas, dikurang atau ditambah. Yang pastinya penggantungan lima tahun telahpun dikenakan dan sewajarnya semua jawatan Wan Mohd Husni dilucutkan serta merta berdasarkan perlembagaan PSM Fasal 40 dan 41.

"Keengganan pihak Setiausaha Agung PSM Datuk Abidullah Salleh bagi PSM dalam mematuhi arahan Astaf boleh mengundang tindakan tatatertib yang bakal dikenakan ke atas PSM," katanya.

Terdahulu, Husni menjelaskan akan mengemukakan rayuan berkaitan hukuman penggantungan terbabit yang dilihat cukup berat.

Malah, pada masa sama PSM juga akan mengutuskan surat kepada Astaf minggu depan bagi meminta penjelasan lanjut berkaitan perkara itu.

PSM akan berbincang bersama peguam untuk meminta dokumen penting berhubung keputusan itu kepada Astaf, sebelum mengeluarkan surat rasmi penggantungan kepada Husni seperti diminta badan induk sepak takraw Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 6:41 PM