Skuad hoki dalam dewan lelaki negara berjaya tempah slot ke Piala Dunia-FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Asia.
Skuad hoki dalam dewan lelaki negara berjaya tempah slot ke Piala Dunia-FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Asia.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Apa yang diperjuangkan oleh skuad hoki dalam dewan lelaki negara, akhirnya membuahkan hasil luar biasa selepas mereka berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2025, dengan menamatkan saingan Piala Asia dalam kelompok dua terbaik di Taldykorgan, Kazakhstan.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara Rodzhanizam Mat Radzi berkata, anak buahnya mempamerkan semangat juang cukup tinggi bagi aksi terakhir klasifikasi pertama hingga keempat Ketika mengikat pasukan gergasi Asia, Iran 3-3.

"Setiap pemain memberikan sehabis baik dan kebangkitan yang ditunjukkan mereka semestinya perlu dipuji," kata Rodzhanizam yang juga bekas pemain kebangsaan.

Ujarnya, pemain negara yang juga berstatus juara bertahan, turun dengan semangat luar biasa iaitu ingin menggapai satu keputusan yang terbaik demi Malaysia.

"Melangkah ke Piala Dunia untuk kali pertama adalah detik yang paling ditunggu dan ini yang diperjuangkan oleh pasukan selama ini. Pasukan berharap kami mendapat perhatian dan peruntukan secukupnya bagi mempersiapkan diri supaya dapat memberikan tentangan yang hebat di Piala Dunia 2025 nanti.

"Terima kasih kepada penyokong dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong Pasukan Hoki Dalam Dewan Malaysia dan terus mempercayai kami," katanya.

Setakat ini, selain Croatia selaku tuan rumah, enam pasukan dari benua Eropah dan Pan Amerika sudah melayakkan diri ke Piala Dunia yang dianjurkan empat tahun sekali bermula dari 2003.

Keenam-enam pasukan berkenaan ialah Austria, Jerman, Poland dan Belgium (Eropah), manakala dua pasukan lagi ialah Argentina dan Trindad and Tobago.

Tiga lagi slot Piala Dunia bakal ditentukan melalui Piala Afrika (2) dan Piala Oceania (1).

Walaupun muncul juara pada 2022, skuad negara tidak layak beraksi di Piala Dunia tahun lalu kerana slot itu diberikan kepada Iran selaku juara Piala Asia 2019 selepas Piala Dunia 2022 dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 11:54 AM