SKUAD hoki dalam dewan lelaki berjaya layak ke Piala Dunia 2025 di Croatia. FOTO Bernama
SKUAD hoki dalam dewan lelaki berjaya layak ke Piala Dunia 2025 di Croatia. FOTO Bernama
BERNAMA

Sepang: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara berharap kejayaan bersejarah layak ke Piala Dunia 2025 di Croatia dapat membuka jalan bagi mereka untuk disenaraikan ke dalam program latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua pasukan Muhammad Najmi Farizal Jazlan berkata kemasukan mereka ke dalam program berkenaan penting bagi membantu skuad kebangsaan menjalani persediaan lebih rapi sebelum berjuang buat julung kali di pentas Piala Dunia tahun depan.

"Kita memang memerlukan sokongan sepenuhnya bukan sahaja daripada MSN, malah Kementerian Belia dan Sukan serta Institut Sukan Negara untuk membantu menyediakan program berterusan sehingga ke Piala Dunia termasuk diberi pendedahan dalam lebih banyak perlawanan antarabangsa selepas ini.

"Terdapat juga rancangan untuk menjalani latihan di luar negara seperti Afrika Selatan mahupun di Eropah menjelang Piala Dunia 2025 namun kami perlukan dana, mungkin menerusi peruntukan daripada kerajaan," katanya sejurus tiba bersama skuad Piala Asia 2024 dari Taldykorgan, Kazakhstan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 di sini hari ini.

Walaupun berjaya layak ke Piala Dunia, tonggak pertahanan itu mengakui terkilan tidak dapat mempertahankan kejuaraan Piala Asia selepas tumpas kepada Iran, 1-7, pada edisi 2024 yang berakhir Sabtu lalu.

Sementara itu ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berharap anak buahnya dapat menjalani latihan di tempat baharu berbanding sesi dijalankan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul sebelum ini.

Beliau berkata Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengenal pasti beberapa tempat di sekitar Lembah Klang untuk dijadikan pusat latihan baharu dengan fasiliti yang lebih lengkap buat skuad kebangsaan.

Menurut Mohd Rodzhanizam, pada masa sama pasukannya wajar diberi insentif susulan pencapaian membanggakan meraih slot automatik ke Piala Dunia 2025 dijadual berlangsung di Porec dari 3 hingga 9 Feb depan.

Pada pusingan pertama Piala Asia 2024, Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B membelasah Oman 10-2 Selasa lepas, diikuti seri 3-3 dengan tuan rumah Kazakhstan dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua dengan mengatasi juara Sukan Sea 2023, Indonesia, 5-4 pada Rabu.

Malaysia yang melangkah ke pusingan kedua selaku juara kumpulan diletakkan dalam Kumpulan C dan merakam kemenangan selesa 5-2 menentang Thailand pada Khamis sebelum mengikat Iran 3-3, Jumaat lalu.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia memperoleh lima mata keseluruhan dan menduduki tangga kedua Kumpulan C di belakang Iran yang mengumpul tujuh mata, dengan kedua-dua pasukan layak ke final Piala Asia 2024.

Dua pasukan teratas Kumpulan C bukan sahaja melangkah ke pentas akhir, tetapi juga meraih slot automatik ke Piala Dunia 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 10:49 AM