SUBAHAN (duduk, tengah) dan ahli lembaga eksekutif KHM bergambar bersama pemain pada Majlis Meraikan Pasukan Hoki Dalam Dewan Kebangsaan di sebuah hotel hari ini. FOTO Bernama
SUBAHAN (duduk, tengah) dan ahli lembaga eksekutif KHM bergambar bersama pemain pada Majlis Meraikan Pasukan Hoki Dalam Dewan Kebangsaan di sebuah hotel hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memerlukan anggaran RM2 juta untuk mempersiapkan pasukan hoki dalam dewan lelaki yang layak ke Piala Dunia 2025 di Porec, Croatia dari 3 hingga 9 Februari tahun depan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal akan membawa usul itu untuk dibincangkan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung dana berkenaan selepas skuad hoki lelaki dalam dewan negara layak ke Piala Dunia buat kali pertama.

Subahan yang ditemui pada Majlis Meraikan Pasukan Hoki dalam Dewan lelaki dan wanita di sini hari ini berkata, jumlah berkenaan merangkumi kos latihan dan kejohanan buat pasukan di luar negara sebelum ke Croatia.

Ia juga sebagai persediaan untuk kedua-dua pasukan menghadapi temasya Sukan Sea di Thailand tahun depan yang mana MHC menyasarkan dua emas.

"Untuk hoki dalam dewan ini memang tiada peruntukan khas untuk mereka malah mereka juga tiada tempat latihan khusus.

"MHC kini sedang berusaha menyediakan tempat latihan khas dan akan cuba mendapatkannya sebelum hujung tahun ini.

"Lokasi kita sudah temui iaitu mungkin di Bukit Jalil dan saya akan berjumpa untuk berbincang dengan menteri dan PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) dalam masa terdekat ini," katanya.

Pada majlis berkenaan, pasukan lelaki yang berjaya muncul naib juara Piala Asia 2024 di Taldykorgan, Kazakhstan bulan lalu meraih insentif wang tunai berjumlah RM5,000 setiap seorang.

Manakala skuad hoki wanita negara menamatkan kempen Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2024 di tempat ketiga di Chonburi, Thailand menerima RM2,500.

Setakat ini, selain Croatia selaku tuan rumah, enam pasukan dari benua Eropah dan Pan Amerika sudah melayakkan diri ke Piala Dunia yang dianjurkan empat tahun sekali sejak 2003.

Enam pasukan berkenaan adalah Austria, Jerman, Poland dan Belgium (Eropah), Argentina dan Trinidad and Tobago.

Walaupun muncul juara pada 2022, skuad negara tidak layak beraksi pada Piala Dunia tahun lalu kerana slot itu diberikan kepada Iran selaku juara Piala Asia 2019 selepas Piala Dunia 2022 dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 6:01 PM