ANTARA bekas pemain yang menyertai saingan Piala Legenda Hoki di Stadium Tun Razak, hari ini.
ANTARA bekas pemain yang menyertai saingan Piala Legenda Hoki di Stadium Tun Razak, hari ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Saingan Piala Legenda Hoki 2024 yang dianjurkan buat kali pertama di Stadium Tun Razak berlangsung meriah hari ini dengan kehadiran barisan legenda hoki negara.

Ia menghimpunkan pemain yang kesemuanya berumur 45 tahun ke atas beraksi mewakili enam pasukan iaitu bekas pemain negara, MPK, Maybank, TNB, BSN dan RMR.

Antara nama-nama terkemuka beraksi adalah legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi yang mewakili pasukan TNB serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang pernah aktif beraksi di saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) satu ketika dahulu.

Penganjuran kali pertama itu juga adalah sebagai tanda penghormatan kepada bekas pemain kebangsaan dan jurulatih, C Paramalingam.

Mirnawan mengakui cukup teruja tampil beraksi sambil dapat bertemu bekas rakan sepasukannya yang pernah sama-sama beraksi bersama skuad kebangsaan serta kelab di MHL.

"Untuk penganjuran kali pertama ini, penghormatan diberikan kepada 'coach' Param kerana dia banyak memberi sumbangan termasuk pernah menjadi bekas pemain kebangsaan serta jurulatih bagi pasukan negara dan kelab ketika era 80-an dan 90-an.

"Saya juga pernah bermain di bawah bimbingan beliau untuk pasukan BSN selain ketika mewakili pasukan remaja Malaysia pada 1991.

"Saingan ini juga dapat mengumpul bekas pemain kebangsaan dan kelab yang pernah beraksi satu ketika dahulu. Banyak pasukan yang beraksi di MHL satu ketika dahulu sudah tidak ada sekarang.

"Sebab itulah saingan ini cuba mengimbas kembali memori lalu dengan penyertaan sebanyak enam pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 5:53 PM