SUKRI teruja sertai THT musim ini. FOTO MHL
SUKRI teruja sertai THT musim ini. FOTO MHL
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas tujuh musim dipujuk pengurusan Pasukan Hoki Terengganu (THT), bekas tonggak Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mohamad Sukri Abdul Mutalib, akhirnya menerima tawaran kelab dari Pantai Timur itu musim ini.

Pendedahan itu diluahkan sendiri Mohamad Sukri, 36, yang juga bekas kapten kebangsaan apabila sudi beraksi bersama skuad kendalian jurulatih baharu THT, Roslan Jamaluddin walaupun turut dilamar beberapa kelab lagi musim ini.

"Sejujurnya saya begitu terharu dengan tawaran pihak pengurusan THT yang sudah menawarkan sebanyak tujuh kali sebelum ini untuk mendapatkan khidmat saya bermula tahun 2014 lagi.

"Jadi pada tahun 2022 ini saya tidak mampu menolaknya lagi tawaran itu, sebaliknya terharu dan begitu teruja untuk beraksi bersama kelab itu selepas tiga musim bersama UniKL, lagipun saya memilih pasukan itu kerana mahukan cabaran yang baharu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditanya mengenai impiannya bersama skuad baharunya itu, pemain kelahiran Trolak Utara, Perak yang sudah melakukan sebanyak 351 penampilan bersama skuad kebangsaan menyasarkan kejuaraan berganda musim ini.

"Mana-mana pemain sudah pasti mahu menyasarkan kejayaan yang lebih baik, begitu juga dengan saya berhasrat untuk membantu THT memenangi seberapa banyak piala yang dipertandingkan musim ini, lagipun saya lihat senarai 22 pemain dalam skuad THT seimbang dan semuanya berbakat besar sama ada dalam kalangan pemain muda ataupun senior.

"Bagaimanapun secara peribadi kejayaan yang ingin diraih itu bukan semudah melakar sasaran di kertas, tapi perlu kerja keras dan pengorbanan yang tinggi daripada semua pemain selain kita juga tidak boleh mengambil mudah dan memandang rendah keupayaan pasukan lain sebaliknya perlu mengikut taktikal dan percaturan yang diterapkan barisan jurulatih jika ingin merangkul kejuaraan," katanya yang mengikat kontrak semusim bersama THT.

Berdasarkan rekod, kapten skuad kebangsaan bermula 2016 hingga 2018 itu pernah merangkul sembilan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL), lima kali juara Piala TNB dan tiga kali menjuarai Piala Sumbangsih ketika bersama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Ketika menyarung jersi UniKL, Mohamad Sukri berjaya membantu pasukannya itu menjuarai Liga MHL sebanyak tiga kali, Piala Sumbangsih dua kali dan sekali merangkul Piala TNB.

Pada pentas antarabangsa ketika mewakili skuad Malaysian Tigers, jurulatih hoki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Kuala Lumpur itu pernah beraksi dalam saingan Piala Dunia di Belanda (2014), Piala Dunia di India (2018), merangkul pingat gangsa Piala Asia 2007 di India, pingat perak Sukan Asia di China (2010), pingat perak Kejohanan Asia di Bangladesh (2017) dan pingat perak Sukan Asia di Indonesia pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 1:56 PM