SHAPAWI (tengah) ketika majlis pelancaran logo Piala Mirnawan, hari ini.
SHAPAWI (tengah) ketika majlis pelancaran logo Piala Mirnawan, hari ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun kali pertama dianjurkan, Piala Mirnawan iaitu kejohanan antarabangsa Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) berjaya menarik minat penyertaan pasukan antarabangsa.

Bakal bermula 26 November sehingga 3 Disember ini, piala dinamakan bersempena dengan legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi itu akan menyaksikan penyertaan pasukan India (Sports Odisha), Jepun dan Singapura untuk saingan lelaki bawah 17 tahun manakala pasukan India (Sports Odisha) serta Singapura turut menyertai saingan perempuan bawah 14 tahun.

Pada saingan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, sebanyak lapan pasukan akan bersaing untuk lelaki bawah 17 tahun manakala tujuh pasukan bagi saingan perempuan bawah 14 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Prof Datuk Dr Shamala berharap kejohanan anjuran bersama Majlis Sukan Negara (MSN) itu akan menjadi platform terbaik untuk melahirkan pemain mewakili skuad kebangsaan pada masa depan.

"Untuk mendapatkan pasukan kebangsaan yang bagus, kita memerlukan satu kumpulan pemain besar. Program NHDP adalah satu program menyeluruh di seluruh negara serta seragam.

"Satu sejarah apabila pasukan India, Jepun dan Singapura mahu mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa ini. Saya tak dapat bayangkan peluang keemasan diperolehi pemain berusia 14 tahun apabila dapat bertemu lawan seperti India.

"Menerusi program dan saingan seperti ini, kami berharap dapat melahirkan pemain yang kompetitif seperti India," katanya selepas majlis pelancaran logo Piala Mirnawan yang disempurnakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, hari ini.

Sementara itu, Mirnawan berterima kasih atas penghormatan diberikan apabila menamakan piala itu sempena namanya.

"Sebenarnya ramai lagi pemain hoki yang mengharumkan nama negara sebelum ini dan Alhamdulillah, saya terpilih.

"Selamat maju jaya kepada penganjur dan semoga kejohanan ini berjalan seperti yang dirancang," katanya menerusi rakaman video.

Mirnawan yang juga pengurus pasukan kebangsaan, ketika ini bersama skuad negara di Kejohanan Piala Negara-Negara di Potchefstroom, Afrika Selatan bermula 28 November sehingga 4 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 4:25 PM