ANTARA bekas pemain negara yang akan beraksi di Stadium Tun Razak, Ahad ini. FOTO IHSAN PIALA LEGENDA HOKI
ANTARA bekas pemain negara yang akan beraksi di Stadium Tun Razak, Ahad ini. FOTO IHSAN PIALA LEGENDA HOKI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Legenda hoki Malaysia dari era 80-an dan 90-an bakal berhimpun di Stadium Tun Razak sebagai penghormatan kepada bekas pemain kebangsaan dan jurulatih, C Paramalingam selain beraksi dalam saingan Piala Legenda Hoki 2024 Ahad ini.

Selain memberi penghormatan kepada legenda terkemuka negara itu, ia adalah peluang kepada peminat untuk menyaksikan barisan bekas pemain negara beraksi.

Perlawanan itu akan menghimpunkan pemain yang kesemuanya berumur 45 tahun ke atas beraksi mewakili enam pasukan iaitu bekas pemain negara, MPK, Maybank, TNB, BSN dan RMR.

Bekas kapten negara, Datuk Mirnawan Nawawi akan mengetuai pasukan TNB bersama Ranjit Singh, Mahinder Singh, M Nadarajan dan Lam Mun Fatt.

Satu lagi pasukan yang menarik perhatian ialah pasukan bekas pemain negara yang diketuai oleh Soon Mustapha Karim, Mark Paul, Keevan Raj dan Dr Calvin Fernandez.

Manakala MPK akan mempertaruhkan pemain seperti Maninderjit Singh, Gunabwan, Datuk Seri Mohd Shuhaily Md Zain dan Khairuddin Ghani.

Mirnawan berkata beliau teruja dan tidak sabar untuk bertemu dengan bekas rakan sepasukan dan legenda lain.

"Trofi Lagenda Hoki akan menjadi perhimpunan luar biasa bekas legenda. Saya tidak sabar dan teruja untuk mengejar semula bekas rakan sepasukan saya dan bekas pemain kebangsaan yang lain.

"Tetapi di atas semua itu, kami gembira kerana berpeluang terbabit dalam memberi penghormatan kepada jurulatih Param ini.

"Apa yang paling penting ialah kami mengumpulkan semua orang dan mengimbau kembali hari-hari indah ketika MHL dimainkan di Stadium Tun Razak," kata Mirnawan.

Acara itu dianjurkan oleh beberapa bekas pemain kebangsaan dan mereka berhasrat untuk menghormati personaliti yang berbeza setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 6:23 PM