AKSI Sapura (jersi biru) pada musim lalu.
AKSI Sapura (jersi biru) pada musim lalu.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Selepas hampir 10 tahun lesu tanpa sebarang kejayaan membanggakan, Sapura HC mahu kembali menjadi kuasa besar pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) bermula musim ini.

Pengurus pasukan Louis Gregory berkata, untuk memenuhi impian itu, pihaknya memancing beberapa pemain ternama bagi memperkuatkan pasukan.

Antara yang sudah mengesahkan untuk menyertai Sapura ialah tiga pemain kebangsaan iaitu Marhan Jalil, Faiz Helmi Jali serta Izad Hakimi Jamaluddin.

Ketiga-tiga mereka akan dibantu empat pemain import dari Pakistan, diketuai kapten pasukan kebangsaan negara itu, Muhammad Imran.

“Memang saya akui kami sedang melakukan perubahan besar. Kami mahu kembali menjadi kuasa hoki di Malaysia seperti satu ketika dulu.

“Untuk musim ini, kami mahu melihat peningkatan prestasi setiap pemain dan sekiranya berjaya meraih satu trofi, itu perkembangan yang bagus,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sapura pernah menjadi kuasa besar dengan kejayaan paling membanggakan adalah meraih gelaran berganda pada musim 2005.

Musim ini, Sapura akan bersaing pada saingan LHM yang bermula Ahad ini, bersama-sama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Terengganu Hockey Team (THT), Maybank, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 8:08 AM