Aksi Izwan Firdaus (depan) dalam salah satu saingan MHL. FOTO Ihsan UniKL
Aksi Izwan Firdaus (depan) dalam salah satu saingan MHL. FOTO Ihsan UniKL
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penyerang Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin mengakui dia serta rakan sepasukan lain kini perlu menggalas tugas lebih sukar untuk memastikan dapat mempertahankan kejuaraan treble pada musim baharu Liga Hoki Malaysia (MHL).

Ia selepas kelab yang memenangi Piala Sumbangsih, menjuarai MHL dan Piala TNB musim lalu itu tidak dapat menggunakan tonggak import berikutan pandemik Covid-19.

"Bagi saya kami harus melihat perkara ini dari sudut positif. Ketiadaan pemain import dapat memberi peluang kepada barisan pemain tempatan untuk menunjukkan kemampuan masing-masing.

"UniKL sebenarnya mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi dan inilah masanya khidmat mereka digunakan," katanya.

Jelas bekas tonggak skuad kebangsaan itu yang sudah tujuh musim bersama UniKL, pasukan lain juga berdepan situasi sama, iaitu tidak dapat menggunakan khidmat pemain import sekali gus menyaksikan peluang untuk menjulang trofi kejuaraan terbuka luas.

"Peluang untuk setiap pasukan adalah sama rata. Saya lihat TNB antara pencabar utama kerana mereka mempunyai barisan pemain berkualiti termasuklah pemain kebangsaan," katanya.

Mengulas pelantikan Megat Azrafiq Termizi selaku ketua jurulatih baharu UniKL menggantikan Arul Selvaraj, Izwan yakin Megat mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan.

"Saya pernah beraksi bersama-sama dengannya dalam saingan liga. Bagi saya dia adalah seorang jurulatih muda yang sedang meningkat naik.

"Di dalam padang saya menghormatinya sebagai jurulatih tetapi apabila di luar, hubungan kami mungkin lebih santai sebagai sahabat," katanya.

Musim baharu MHL akan membuka tirainya pada 14 Januari dan dijangka berakhir 20 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 11:07 PM