SKUAD hoki wanita negara bakal beraksi di Sukan Asia Hangzhou.
SKUAD hoki wanita negara bakal beraksi di Sukan Asia Hangzhou.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Enam aksi persahabatan diatur untuk skuad wanita kebangsaan sepanjang berada di Perth, Australia bermula 6 hingga 18 Ogos 2023 dengan seramai 19 pemain dipilih untuk menyertai siri jelajah persahabatan menentang pasukan negeri dan kelab Australia.

Siri jelajah itu juga akan digunakan sebagai salah satu medan persediaan buat skuad wanita menjelang temasya Sukan Asia 2022, Hangzhou yang akan bermula pada 23 September hingga 8 Oktober depan.

Selain itu, siri itu juga membuka peluang buat enam pemain remaja wanita kebangsaan yang beraksi di Piala Remaja Asia pada Mei lalu bagi menambat hati ketua jurulatih wanita kebangsaan agar diserapkan di dalam pasukan kebangsaan.

Pengendali skuad wanita kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim menjelaskan beberapa siri persiapan menjelang temasya Sukan Asia sudah dijalankan oleh pasukannya termasuk penyertaan Kejohanan Jemputan di China, temasya Sukan Sea Kemboja 2023 dan perlawanan persahabatan menentang pasukan Australia Country.

"Siri jelajah perlawanan persahabatan Perth Australia adalah medan terbaik buat pasukan wanita kebangsaan yang kini dalam fasa persiapan terakhir menjelang Sukan Asia yang akan berlangsung pada bulan depan.

"Perlawanan persahabatan ini juga akan kami gunakan bagi meningkatkan lagi keserasian dalam kalangan pemain serta ruang untuk pemain lebih memahami taktikal yang diterapkan oleh pasukan.

"Salah satu pasukan yang akan kami lawan adalah Perth Thundersticks, di mana mereka adalah pasukan Negeri dan telah menyertai liga tertinggi di Australia.

"Selain itu pasukan ini turut mempunyai barisan pemain yang berada di dalam skuad latihan kebangsaan Australia serta memiliki bekas pemain kebangsaan senior dan remaja Australia.

"Menerusi siri persahabatan ini, saya turut membawa enam pemain remaja yang beraksi di Piala Remaja Asia pada Mei lalu bagi membuka ruang untuk mereka membuktikan bahawa pemain muda mampu untuk meneruskan kesinambungan pola pemain pasukan wanita kebangsaan."

Pemain berusia 20 tahun, Anith Humaira akan membuat penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan," katanya.

Skuad wanita kebangsaan akan berlepas ke Perth, Australia pada Ahad ini dan akan memulakan aksi perlawanan persahabatan pertama mereka sehari selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 6:25 PM