MIRNAWAN bersama Muhajir di Perth. FOTO Instagram
MIRNAWAN bersama Muhajir di Perth. FOTO Instagram
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Selepas 20 tahun meninggalkan lapangan sukan hoki sebagai seorang pemain profesional, pastinya detik-detik indah yang pernah dilakar bersama skuad kebangsaan melahirkan rasa rindu bagi lagenda hoki tanah air iaitu Datuk Mirnawan Nawawi.

Bekas ketua pasukan hoki kebangsaan yang mesra dengan julukan 'The Boss' itu membuat satu hantaran menerusi akaun Instagram miliknya seolah-olah merindui saat pertama kalinya berkecimpung dalam kancah perlawanan antarabangsa.

Mirnawan yang juga pengurus pasukan hoki kebangsaan ketika ini mengucapkan tahniah kepada Muhajir Abdul Rauf yang membuat penampilan sulungnya dalam pentas perlawanan antarabangsa ketika menentang Australia dalam siri perlawanan ujian antarabangsa di Perth, Australia.

"Tahniah kepada pemain kelahiran Sabah @muhajir_rauf. Penampilan pertama beliau (1st International Cap) untuk pasukan hoki kebangsaan menentang pasukan No 1 dunia Australia hari ini (semalam).

"Masih ingat lagi 1st International Cap menentang China di New Delhi pada tahun 1989.

"All the best to u Muhajir Abdul Rauf!" Katanya menerusi hantaran di Instagram.

Hantaran dengan gambar berdua yang dimuat naik itu dibuat sejurus berakhirnya perlawanan ketiga bagi siri perlawanan ujian antarabangsa menentang Australia di Stadium Hoki Perth, Australia.

Pasukan hoki kebangsaan terpaksa akur dengan dengan keupayaan pasukan hoki nombor satu dunia itu selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan itu.

Malaysia menjalani perlawanan persahabatan itu sebagai persiapan menghadapi Piala Asia yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 23 Mei hingga 1 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 2:38 PM