SKUAD negara melakar rekod bersih meraih empat kemenangan ke atas Western Australia. FOTO Bernama
SKUAD negara melakar rekod bersih meraih empat kemenangan ke atas Western Australia. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Masih ada ruang dan kelemahan yang perlu diperbaiki barisan pemain hoki remaja negara biarpun melakar rekod bersih kesemua empat perlawanan persahabatan menentang pasukan Western Australia.

Antara ruang kelemahan yang dikesan oleh pengendali Young Tigers, Muhamad Amin Rahim, adalah di ruang pertahanan yang mana ia perlu diberi perhatian lebih khusus oleh barisan pemain negara menjelang aksi Hoki Piala Dunia Remaja di Bukit Jalil, Disember ini.

Daripada empat siri perlawanan itu, skuad negara bolos sebanyak lapan kali selepas menang 3-1 pada aksi dua perlawanan awal diikuti 4-3 pada perlawanan ketiga dan 7-3 perlawanan terakhir.

Jelas Amin masih ada ruang untuk pemain negara memperkasakan kelemahan itu apabila dijadualkan bekerjasama bersama pasukan senior lelaki yang kini dalam persediaan untuk menghadapi temasya Sukan Asia di Hangzhou September ini.

"Secara keseluruhan, saya gembira kerana menang semua perlawanan tapi ada kelemahan yang perlu diperbetulkan.

"Kami akan bekerjasama dengan pasukan senior kebangsaan dan akan menggunakan khidmat pakar dari Australia, Glenn Turner dan Kieran Govers untuk membantu penyerang kita.

"Dua pakar dari Australia itu akan datang ke Malaysia dan akan ada sesi khas bersama mereka untuk memastikan ketajaman barisan penyerang terutama dalam memburu gol padang dan pukulan sudut penalti," katanya.

Tegas Amin selain daripada perancangan untuk menjalani siri persahabatan Eropah skuad remaja negara akan turut menguji kekuatan melawan pasukan senior pada setiap pagi Sabtu.

"Kita tahu tempo permainan skuad senior berbeza dengan skuad remaja jadi sebelum ke Eropah kami akan mengadakan perlawanan dengan mereka setiap Sabtu pagi," katanya.

Siri jelajah Eropah itu dirancang sebagai persediaan buat skuad remaja lelaki negara menghadapi saingan Piala Dunia Remaja nanti.

Namun ketika ini hanya Jerman menyatakan persetujuan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Perancis masih belum memberi jawapan selepas Belanda dan Belgium menolak pelawaan.

Kata Amin, sekiranya tidak dapat beraksi dengan Perancis, skuad remaja negara mungkin akan ke England untuk mendakan siri perlawanan bersama Great Britain walaupun mereka tidak layak ke Piala Dunia, namun mereka tetap memiliki pasukan yang bagus dan menjadi ujian terbaik untuk pemain negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 4:03 PM