AMIN mahu menguji anak buahnya dalam enam perlawanan persahabatan di Eropah. FOTO FB KONFEDERASI HOKI MALAYSIA (MHC)
AMIN mahu menguji anak buahnya dalam enam perlawanan persahabatan di Eropah. FOTO FB KONFEDERASI HOKI MALAYSIA (MHC)
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja lelaki negara akan menyertai siri jelajah perlawanan persahabatan di Eropah sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Kuala Lumpur pada 5 hingga 16 Disember depan.

Skuad berkenaan akan berlepas ke Eropah malam ini dan mengharungi enam perlawanan persahabatan menentang pasukan remaja kebangsaan Jerman, Perancis serta Great Britain sepanjang berada di benua Eropah, sebelum kembali ke Malaysia pada 6 September depan.

Seramai 22 pemain dibawa bagi dengan aksi persahabatan pertama bermula pada 24 Ogos.

Jurulatih skuad remaja negara, Muhamad Amin Rahim berkata, pemilihan pemain bagi mengikuti siri jelajah ini adalah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pemain sepanjang sesi latihan selepas pulang dari Kejohanan Piala Remaja Asia di Salalah, Oman.

"Siri jelajah ini bagi membantu pemain bersiap sedia menghadapi kejohanan penting hujung tahun ini dan barisan kejurulatihan ingin melihat kombinasi pemain beraksi dengan pasukan di Eropah.

"Bagaimana keputusan pantas boleh dilakukan pemain di atas padang dan kami akan menerapkan beberapa taktikal baru.

"Jadi, ini medan terbaik untuk menguji taktikal itu selain melihat bagaimana pemain boleh mengadaptasinya.

"Pasukan akan menghabiskan lapan minggu fasa latihan fizikal dan tentunya siri jelajah ini digunakan untuk menilai sejauh mana tahap prestasi pemain," katanya.

Tegas Amin, adalah penting untuk pemain mempunyai tahap keyakinan tinggi ketika berdepan mana-mana pasukan sama ada Asia atau Eropah terutama menjelang dua kejohanan besar yang mendatang iaitu Kejohanan Piala Sultan Johor 2023 dan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 5:38 PM