KETUA jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Muhammad Amin Rahim. FOTO BERNAMA
KETUA jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Muhammad Amin Rahim. FOTO BERNAMA
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Muhammad Amin Rahim boleh mengukir senyuman melihat prestasi semasa anak buahnya menjelang Sukan Sea di Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei depan.

Ini kerana, barisan pemainnya yang kini berada di Perth, Australia untuk mengharungi enam perlawanan persahabatan tampak mempamer aksi meyakinkan selepas beraksi tiga perlawanan menentang pasukan All Star Team yang membabitkan campuran pemain dari kelab berbeza di Liga Australia.

Skuad muda negara seri 2-2 pada perlawanan pertama, menang 3-2 dalam perlawanan kedua dan tewas 1-2 di perlawanan ketiga.

"Untuk tiga perlawanan setakat ini, saya nampak peningkatan dalam setiap perlawanan terutama membabitkan tahap kepercayaan diri, keyakinan dan semangat berpasukan.

"Mereka beraksi dengan baik sebagai satu unit, dapat menguasai bola dan benteng pertahanan bertambah baik.

"Cuma ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan termasuklah kreativiti untuk menjaringkan gol, kawalan dalam kawasan 25 ela serta penyudah pukulan sudut penalti," katanya ketika dihubungi.

Jelas Amin yang juga bekas pakar pukulan sudut penalti negara, pasukannya kini boleh dikatakan berada di landasan tepat untuk persiapan ke Kemboja.

Menurutnya, secara keseluruhan dia gembira dengan prestasi setiap pemain dan prestasi pasukan, namun menyedari masih ada ruang perlu diperbaiki untuk persediaan ke Sukan Sea.

Skuad hoki remaja negara diletakkan sasaran tinggi untuk memenangi pingat emas di Kemboja, sekali gus meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara hoki pada temasya sukan dwi tahunan itu.

Skuad sama akan beraksi pada Piala Remaja Asia di Oman bermula 23 Mei sebelum misi penting tampil di Piala Dunia Remaja yang menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah pada Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 9:28 PM