SKUAD hoki lelaki dalam dewan muncul juara Piala Asia di Bangkok, Thailand.
SKUAD hoki lelaki dalam dewan muncul juara Piala Asia di Bangkok, Thailand.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad hoki dalam dewan negara bakal berkelana di bumi Australia sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Kemboja Mei ini.

Kedua-dua pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita dijadual menyertai siri jelajah perlawanan persahabatan di Perth, Australia pada 9 hingga 19 April dalam memastikan persiapan menjelang temasya dwi-tahunan itu berada pada tahap terbaik.

Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Mohd Hanip Che Halim menjelaskan siri aksi persahabatan itu akan dijadikan medan bagi menguji setiap perancangan telah diatur dari segi teknikal dan taktikal.

"Saya mahu pemain menterjemahkan setiap percaturan dibuat di Kuala Lumpur apabila bermain di Perth nanti dan daripada enam perlawanan itu, saya akan menilai di mana tahap pasukan kami sebelum ke Kemboja.

"Setiap kekurangan dan kelebihan saya akan rumuskan dan memperkemas serta memperbaiki lagi kelemahan pasukan supaya kami bersedia sepenuhnya untuk ke Kemboja," jelasnya.

Sementara itu ketua jurulatih wanita, Mohd Badrul Hisham Osman berkata terdapat empat atau lima wajah baru dibawa pada siri jelajah persahabatan ini selain tujuh daripada pemain yang beraksi pada Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan, tahun lalu.

"Kami menyusun jadual di sana di mana setiap pagi kami akan menjalani latihan dan sebelah malam kami akan bermain perlawanan persahabatan.

"Kami juga akan menjadikan aksi persahabatan ini sebagai medan untuk memilih siapa 12 pemain terbaik yang akan ke Sukan SEA dan objektif kami dalam Siri Jelajah Persahabatan ini untuk memberikan lebih perlawanan di peringkat antarabangsa kepada pemain.

"Pengalaman yang diraih pada siri persahabatan ini juga perlu digunakan sebaiknya untuk wajah-wajah baru dan berharap mereka dalam menyesuaikan diri dengan tempo perlawanan yang tinggi," ujarnya.

Untuk rekod, seramai 15 pemain lelaki iaitu tiga penjaga gol, empat pemain pertahanan, tiga pemain di bahagian tengah dan lima penyerang bakal mengikuti siri jelajah persahabatan ini.

Bagi pasukan wanita membariskan 14 pemain iaitu tiga penjaga gol, tiga pertahanan, tiga pemain di bahagian tengah dan lima penyerang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 4:04 PM