SKUAD hoki remaja sepatutnya ke Perth petang ini. FOTO MHC
SKUAD hoki remaja sepatutnya ke Perth petang ini. FOTO MHC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan yang dijadualkan berlepas ke Perth, Australia petang ini sebagai persediaan bagi menghadapi Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan kerana berdepan masalah visa.

Pemergian mereka ke Perth itu bertujuan memulakan persiapan awal dengan menjalani siri Jelajah Australia yang berlangsung daripada 17 hingga 31 Januari 2023 di Perth Australia.

Mereka bagaimanapun akan tetap menyertai diri jelajah berkenaan dan akan berlepas dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

Ketua jurulatih, Muhamad Amin Rahim berkata, apa yang beliau mahukan daripada siri jelajah ini adalah pemainnya mengutip pengalaman sebanyak mungkin dan menjadikan pendedahan diberikan ini sebagai salah satu medan pembelajaran untuk menjadikan mereka pemain lebih baik.

"Selepas sesi pemilihan pemain diadakan baru-baru ini, Siri Jelajah Perth adalah langkah pertama bagi mempersiapkan pasukan ini menuju ke misi utama pasukan iaitu mara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja 2023 yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.

"Beberapa siri jelajah lain juga sedang diatur dan bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa kejohanan antarabangsa yang bakal disertai oleh pasukan seperti Piala Asia Remaja yang masih belum dimuktamatkan lagi tarikh dan venue kejohanan, Sukan Sea Kemboja dan Piala Sultan Johor 2023 sebelum menuju ke Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, Kuala Lumpur.

"Saya berharap setiap pemain yang diberikan kepercayaan bersama pasukan ini akan mengambil peluang tersebut dengan sebaiknya. Mereka perlu buktikan mengapa mereka harus terus kekal berada di dalam pasukan sehingga kejohanan Piala Dunia 2023.

"Sebagai tuan rumah, kami akan bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi kejohanan tersebut," jelas Amin.

Siri jelajah yang diatur sebagai pendedahan buat Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan bagi mendapatkan perlawanan berintensiti tinggi menentang pasukan kelab di Australia iaitu Western Australian Institute of Sport (WAIS) B-21.

Sebanyak enam perlawanan diatur dan daripada 20 pemain disenaraikan, dua daripadanya adalah penjaga gol, enam pemain pertahanan, enam pemain di bahagian tengah sementara enam lagi penyerang dalam lingkungan usia pemain antara 17 hingga 21 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 4:01 PM