SKUAD hoki uji kelab senior di Australia. FOTO FB Hokita
SKUAD hoki uji kelab senior di Australia. FOTO FB Hokita
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan akan berkelana di bumi Australia bermula 6 sehingga 14 April ini sebagai persediaan menghadapi Sukan Sea Kemboja dan Kejohanan Piala Remaja Asia di Oman.

Ketika berada di Australia, skuad remaja negara terdiri daripada 21 pemain membabitkan dua penjaga gol, tujuh pertahanan, enam pemain di posisi tengah dan enam penyerang akan melalui enam perlawanan persahabatan sebelum pulang ke Malaysia pada 15 April.

Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhamad Amin Rahim berkata, pemain yang dibawa ke Perth adalah mereka yang menunjukkan persembahan terbaik sewaktu saingan TNB Liga Hoki Malaysia baru–baru ini .

"Selain daripada pemain yang beraksi bersama Young Tigers, terdapat juga muka baru dibawa ke Perth dan peluang diberikan kepada mereka untuk kami barisan kejurulatihan menilai tahap kemampuan mereka untuk beraksi di peringkat tertinggi.

"Untuk Siri Jelajah Persahabatan kali ini, kami akan menentang kelab senior di Australia dan apabila menentang kelab yang rata-ratanya merupakan pemain senior, sudah tentu kualiti serta tempo permainan akan berbeza.

"Kepantasan untuk berfikir serta kepantasan fizikal juga akan menjadi taruhan pasukan dalam aksi persabahatan tersebut di mana ianya cukup baik bagi mempersiapakan pemain agar bersedia sepenuhnya menjelang dua kejohanan penting (Sukan Sea dan Piala Remaja Asia 2023)," katanya.

Tambah Muhammad Amin, dalam aksi persahabatan di Australia nanti, dia mahu melihat kemampuan anak buahnya untuk beraksi di dalam situasi tekanan tinggi.

"Seperti semua sedia maklum, Australia antara pasukan terbaik di dunia.Saya meletakkan harapan untuk pemain-pemai mengambil dan menggunakannya dengan sebaik mungkin selain belajar untuk beraksi di perlawanan yang mempunyai tempo serta tekanan tinggi kerana pasukan akan menghadapi dua kejohanan cukup penting," jelas beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 5:14 PM