PENYOKONG Turkiye mempamerkan simbol ‘Serigala Kelabu’. FOTO AFP
PENYOKONG Turkiye mempamerkan simbol ‘Serigala Kelabu’. FOTO AFP
AFP

Berlin: Polis Berlin mengambil tindakan menghentikan para penyokong Turkiye yang berarak menjelang perlawanan separuh akhir Euro 2024 selepas beberapa orang melakukan simbol yang dikaitkan dengan gerakan sayap kanan - perkara yang sama dilakukan sehingga menyebabkan seorang pemain negara berkenaan digantung.

Simbol 'Serigala Kelabu' - tiga jari digabungkan dengan jari telunjuk dan kelingking diangkat membentuk kepala serigala - dikaitkan dengan gerakan ultranasionalis Turkiye yang kerajaan Jerman anggap sebagai rasialis dan antisemitik.

"Semasa perarakan penyokong Turkiye, melakukan simbol 'Serigala Kelabu' secara beramai-ramai. Oleh itu, polis menghentikan perarakan dan menggesa penyokong untuk berhenti membuat isyarat berkenaan," kata pasukan polis ibu negara itu di laman media sosial.

"Perarakan penyokong bukanlah platform untuk mesej politik," tambah kenyataan itu.

Sebelum perlawanan Turkiye menentang Belanda di Berlin, yang dihadiri Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, berlakunya perdebatan diplomatik antara Berlin dan Ankara berkenaan simbol berkenaan.

Pertahanan Merih Demiral menyambut dua golnya menentang Austria dalam peringkat 16 terakhir dengan melakukan simbol itu Rabu lalu, yang membawa kepada hukuman penggantungan dua perlawanan dari Kesatuan Bolasepak Eropah (Uefa) yang dilabelkan sebagai 'tidak adil' oleh jurulatih Vincenzo Montella.

Menteri Dalaman Jerman, Nancy Faeser, mengutuk tindakan Demiral, menyatakan 'simbol ekstremis sayap kanan Turkiye tidak mempunyai tempat di stadium mereka' di X.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 3:00 AM