SUASANA tegang turut menghiasi pertemuan antara Selangor dan Kuching. FOTO Bernama
SUASANA tegang turut menghiasi pertemuan antara Selangor dan Kuching. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Drama selama tiga jam nyata menghiasi perlawanan dramatik antara Selangor FC dan Kuching City FC dengan akhirnya Red Giants menempah slot ke separuh akhir Piala FA selepas menang 5-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi.

Selangor FC yang memerlukan kemenangan dalam aksi suku akhir kedua itu selepas tewas 1-2 di Sarawak minggu lalu beraksi cukup sempurna apabila menang 3-2 untuk mengikat agregat 4-4 sebelum ia ditentukan menerusi sepakan penalti.

Selain aksi serang menyerang, pelbagai insiden turut berlaku termasuk Selangor FC terpaksa beraksi dengan sembilan pemain, lampu limpah rosak serta pergaduhan kecil babitkan kedua-dua pemain menghiasi pertemuan itu.

Bagaimanapun ribuan penyokong Merah Kuning tersentak apabila pelawat terlebih dulu menggegar jaring tuan rumah menerusi tolakan mudah Nur Shamie Iszuan yang menerima hantaran Jordan Mintah pada minit ke-15.

Gol itu nyata menyentap semangat juang anak buah Nidzam Jamil yang kembali memperkemaskan aksi dan hasilnya Red Giants mengikat kedudukan 1-1 hasil ledakan Ahmad Zikri Khalili di minit 27 ketika gawang Kuching City sudah pun ternganga luas.

Serangan bertubi-tubi rangkaian hadapan Selangor FC menyaksikan mereka berjaya berada di depan pada minit 39 selepas Alvin Fortes melepaskan satu rembatan cantik yang gagal sama sekali di halang Shahril Saa'ri.

Bersambung babak kedua, tuan rumah hampir menambah kelebihan namun rembatan Quentin Cheng di awal permainan dan percubaan susulan Zikri melambung tinggi.

Pada minit ke-63, aksi terpaksa dihentikan seketika ekoran masalah lampu limpah yang terpadam sekali gus mengganggu rentak Selangor FC yang cukup agresif menyerang.

Sebaik aksi disambung semula, tuan rumah mengasak kubu pelawat tetapi benteng Kuching City kebal bertahan menafikan percubaan penyerang Selangor FC.

Begitupun tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Yohandry Orozco menyiku pemain Kuching City biarpun insiden itu pada awalnya dimulakan pemain pelawat.

Walaupun kekurangan pemain, skuad kendalian Nidzam berjaya menambah gol hasil ledakan Fortes namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Mohamad Alif Hassan menjaringkan gol ketiga untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Selangor FC sekali lagi ditimpa malang apabila Reziq Bani Hani pula dilayangkan kad merah untuk meninggalkan tuan rumah dengan sembilan pemain.

Kuching City gagal menggunakan kelebihan dua pemain sebaliknya tuan rumah kekal ampuh bertahan dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Tuah nyata milik Selangor FC apabila memenangi penentuan itu dengan Harith Haiqal muncul wira apabila sepakan terakhirnya memastikan tuan rumah menang 5-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 12:47 AM