OROZCO  meraikan jaringan ketika menentang Negeri Sembilan FC. FOTO Bernama
OROZCO meraikan jaringan ketika menentang Negeri Sembilan FC. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Selangor FC melaung amaran bahawa mereka bakal menjadi pencabar utama Piala FA musim ini apabila membelasah Negeri Sembilan 4-0 dalam aksi pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang tadi.

Ia kemenangan besar kedua direkodkan Gergasi Merah ke atas Negeri Sembilan musim ini selepas mengatasi skuad Rusa dengan jaringan sama dalam saingan Liga Super juga di gelanggang sama, bulan lalu.

Pada aksi yang turut disaksikan pemain Selangor, Faisal Halim dari bangku penonton, skuad kendalian Nidzam Jamil berada di depan hanya selepas enam minit apabila Yohandry Orozco bijak menyudahkan umpanan Alex Agyarkwa.

Orozco kemudian menggandakan kedudukan dengan meledak gol kedua, lapan minit kemudian susulan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan, Aliyu Abubakar gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Selangor menuju ke bilik persalinan dengan lebih selesa apabila hantaran Nooa Laine disempurnakan dengan baik Alvin Fortes pada minit ke-45.

Ronnie Fernandez melepaskan peluang keemasan untuk menambah gol keempat Selangor apabila sepakan penaltinya pada minit ke-66 diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri.

Kekecewaan itu bagaimanapun pantas ditebus Fortes selepas rembatan leretnya seminit kemudian menewaskan Syahmi buat kali keempat, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya Gergasi Merah.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor menempah pertembungan dengan Kuching City di suku akhir yang akan berlangsung secara timbal balik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 8:11 PM