SEBAHAGIAN aksi suku akhir pertama Piala FA antara Kuching City dan Selangor FC di Stadium Bandaraya, Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
SEBAHAGIAN aksi suku akhir pertama Piala FA antara Kuching City dan Selangor FC di Stadium Bandaraya, Kuching. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejutan berlaku di bumi Sarawak apabila pasukan pilihan Selangor FC tumbang 2-1 kepada Kuching City FC dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Negeri Sarawak, malam tadi.

Kekalahan itu nyata mengejutkan ketika reputasi Red Giants dalam saingan Liga Super dan beberapa aksi pramusim cukup hebat dicalarkan Kuching City yang lebih bernafsu.

Dalam aksi itu, pelawat terlebih dulu mendahului menerusi penyerang import, Ronnie Fernandez pada minit 31 untuk memberikan permulaan positif kepada Selangor FC.

Namun begitu, pasukan tuan rumah yang dikendalikan Aidil Sharin Sahak tidak berputus asa apabila menggandakan asakan dan hasilnya James Okwuosa menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung aksi, kesilapan tonggak pertahanan pelawat Sharul Nazeem di dalam kotak penalty pantas dihukum oleh Jordan Mintah pada minit 64 untuk meletakkan pasukannya mendahului aksi.

Selangor FC cuba memburu gol penyamaan, namun keputusan 2-1 itu kekal memihak Kuching City FC untuk membawa bekalan tipis itu ke Kelana Jaya bagi aksi timbal balik Sabtu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 10:43 PM