PEPE (kiri) dan Ronaldo dilihat kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
PEPE (kiri) dan Ronaldo dilihat kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO REUTERS
Agensi

Hamburg: Pengurus Portugal, Roberto Martinez berkata 'tiada keputusan individu' dibuat mengenai masa depan Cristiano Ronaldo dan Pepe selepas kekalahan mereka kepada Perancis di Euro 2024.

Kedua-dua pemain itu menjadi tonggak penting dalam pasukan Portugal sepanjang kejohanan, dengan Ronaldo yang berusia 39 tahun bermain setiap minit ketika meraih kemenangan menerusi penentuan penalti ke atas Slovenia pada pusingan 16 dan tewas, juga menerusi penalti di tangan Perancis di suku akhir.

Pepe juga mencipta sejarah di kejohanan itu, menjadi pemain tertua dalam sejarah Kejohanan Eropah pada usia 41 tahun.

Kedua-duanya berpelukan di atas padang selepas tewas awal pagi tadi dengan Pepe menangis ketika Ronaldo menenangkannya.

"Air matanya adalah kerana rasa kecewa. Pepe adalah contoh teladan dalam bola sepak Portugal.

"Apa yang dilakukannya pada perlawanan ini dan dalam kejohanan ini akan kekal bersama kita untuk generasi akan datang," katanya.

Ditanya sama ada kedua-dua pemain itu tampil buat kali terakhir untuk Portugal, Martinez menjawab: "Tidak. Segalanya masih terlalu awal. Kami masih merasai kekalahan ini.

"Tiada keputusan individu pada masa ini."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 8:47 PM