PEMERHATI bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa. FOTO ARKIB NSTP
PEMERHATI bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kemelut tunggakan gaji didalangi permainan 'politik kotor' hingga mengakibatkan pemain menjadi mangsa menunjukkan betapa saingan Liga Malaysia (Liga M) sebenarnya masih belum profesional.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa, perkataan profesional hanyalah tertulis pada kertas atau di dada akhbar semata-mata, namun hakikatnya sikap, urus tadbir dan budaya pengurusan masih di tahap amatur.

Malah, beliau tidak terkejut seandainya juara Piala Malaysia 2021 dan naib juara Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC (KL City) 'terkubur' dek kerana kelemahan sendiri.

"Bagi saya, apa yang berlaku ke atas KL City ini disebabkan beberapa perkara termasuk sikap, kesilapan pengurusan, budaya kerja lama dan ketiadaan dana.

"Saya fikir kelab di Liga M masih belum mencapai tahap profesional sebenar apabila masih mengharapkan dana kerajaan bagi menguruskan pasukan masing-masing.

"Kita tahu dana kerajaan ini kadang-kala berkait dengan permainan politik oleh pihak tertentu. Jadi ini sebenarnya menunjukkan sikap dan cara kerja serta operasi kelab di tahap lama atau amatur yang bukannya bergerak secara profesional," katanya ketika dihubungi.

Jelas Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu, pihak bertanggungjawab yang menggerakkan liga domestik harus merasai sama impak isu tunggakan gaji ini biarpun ia membabitkan kelab di saingan Liga M.

"Bila isu ini timbul, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) perlu berasa malu kerana penganjuran liga ini di bawah kelolaan mereka.

"Tanggungjawab perlu dipikul bersama dan ia membabitkan imej bola sepak Malaysia. Jangan lihat pada awan biru yang cantik sahaja, tetapi hakikatnya di darat atau di bawah ini terlalu banyak kelompongan yang berlaku.

"Saya fikir jika perlu mengundur (kembali ke amatur) tak salah, supaya kita boleh bina semula asas yang kukuh sebelum kembali ke tahap profesional.

"Daripada pemain jadi mangsa, baik kita betulkan asas operasi termasuk meletakkan orang yang tepat dalam kelab serta MFL agar status profesional itu benar-benar mencapai objektifnya," katanya.

Terdahulu, KL City berdepan risiko 'tutup kedai' atau hilang daripada radar saingan Liga M jika isu tunggakan tidak berjaya diselesaikan hingga hujung musim ini.

Ia susulan pendedahan pemain naturalisasi negara, Paulo Josue yang mengakui tidak menerima gaji sejak Januari lalu atau lebih tepat bermain bola sepak 'secara percuma' sejak tujuh bulan lalu.

Arena Metro turut mendedahkan isu sebenar di sebalik masalah itu apabila mantan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mengakui ia berlaku disebabkan permainan 'politik kotor' yang sanggup menahan dana pasukan selagi tidak dilantik sebagai Presiden KLFA.

Untuk rekod, pelantikan baharu Ahli Jawatankuasa KLFA sepatutnya berlangsung pertengahan tahun ini, namun difahamkan belum dijalankan kerana proses audit membabitkan kewangan kelab masih belum selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 9:46 PM