Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Seorang lelaki ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Jalan Persiaran Kemajuan Bandar Baru Bangi, di sini, semalam sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 17 saat yang memaparkan aksi penunggang motosikal itu, pada 7.24 malam.

"Bertindak di atas rakaman video tular itu, kita mengesan dan menangkap seorang lelaki berusia 22 tahun bekerja sebagai P-Hailing jam 1.30 pagi," katanya.

Naazron berkata, lelaki itu direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Khairul Ismail di talian 01133210917.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengamalkan pemanduan berhemah, tidak melakukan aksi bahaya yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain serta sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 10:18 PM