JENAZAH Jamaluddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Ridzuan, Telok Medan malam ini, FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
JENAZAH Jamaluddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al Ridzuan, Telok Medan malam ini, FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Fauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: "Dua hari lalu, arwah sempat melahirkan kerisauannya mengenai hutang motosikal yang masih berbaki lebih RM 4,000," kata Abdul Wahab Ariffin, 51, abang seorang lelaki yang maut ditimpa tandan kelapa sawit di Parit Mat Keling, di sini, hari ini.

Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari ketika adiknya Jamaluddin Ariffin, 49 mengambil upah mengait kelapa sawit milik penduduk.

"Difahamkan ketika kejadian tandan buah kelapa sawit yang dikait menimpa kepalanya menyebabkannya tidak sedarkan diri sebelum disedari pemilik kebun.

"Pagi sebelum kejadian, arwah sempat menangkap ikan dan menjualnya di pasar pagi di Masjid Tinggi, namun bakinya tidak sempat dijual," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Masjid Al Ridzuan, Telok Medan, di sini, malam ini.

Menurutnya, sebelum ini arwah adiknya pernah berkerja kilang, tetapi berhenti sejak beberapa tahun lalu kerana isterinya Zarina Jamaludin, 45, sakit dan terpaksa dipotong kedua belah kakinya.

"Selepas berhenti kerja arwah meneruskan kehidupan dengan membuat kerja kampung termasuk mengambil upah mengait buah kelapa sawit.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang tanda, namun menyuarakan kebimbangannya terhadap hutang motosikal yang masih berbaki lebih RM 4,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 9:33 PM