Jurulatih Belanda Ronald Koeman.
Jurulatih Belanda Ronald Koeman.

Reuters

Dortmund: Pengalaman pahit tewas 1-2 kepada England di pentas separuh akhir Euro 2024 namun situasi itu sebenarnya memberikan kepuasan kepada pasukan terbabit selepas ramai yang tidak menjangkakan Belanda mampu melangkah jauh di kejohanan itu.

Belanda menerima dengan hati terbuka apabila berjaya mengakhiri saingan dalam empat pasukan terbaik di pentas Euro 2024 walaupun hampir saja menempah slot final sebelum tumpas kepada England.

"Kami beranggapan bahawa pasukan lebih baik pada 20 minit terakhir namun sepakan sebelum menerjah gol meranapkan impian Belanda. England menjaringkan gol yang hebat sekali gus sukar untuk menerima perkara itu," kata jurulatih Belanda Ronald Koeman.

Mengikut rekod, Belanda tewas dalam empat penampilan di pentas separuh akhir dengan pasukan menerima tamparan hebat pada awal kejohanan selepas kehilangan Frenkie de Jong.

Pemain tengah yang berpengaruh itu mengalami kecederaan namun Koeman tetap mengekalkan pemain itu dengan harapan akan sembuh namun situasi terbabit tidak berlaku.

"Saya fikir semua orang boleh berbangga dengan pasukan ini. Ini juga terbukti daripada semua penyokong yang menyokong kami begitu ramai. Ia adalah satu kejohanan yang hebat," tambah Koeman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 9:16 PM