KUVONDIK tidak lagi bersama Sri Pahang FC dan kembali beraksi di kelab di negara kelahirannya. FOTO SRI PAHANG FC
KUVONDIK tidak lagi bersama Sri Pahang FC dan kembali beraksi di kelab di negara kelahirannya. FOTO SRI PAHANG FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui ketiadaan pemain tengah import dari Uzbekistan, Ruziev Kuvondik sebagai satu kehilangan besar bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, ini kerana pemain berusia 30 tahun itu memiliki disiplin tinggi dan sentiasa mempamerkan prestasi terbaik pada setiap perlawanan.

"Saya akui Sri Pahang kehilangan seorang pemain tengah yang rajin kerana dia memiliki disiplin tinggi untuk memberikan yang terbaik buat skuad Tok Gajah.

"Ketiadaan Kuvondik amat dirasai pasukan dan diharapkan pengganti posisi ditinggalkan dapat mempamerkan persembahkan meyakinkan," kata jurulatih berusia 62 tahun itu.

Semalam, Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengumumkan Kuvondik tidak lagi bersama skuad itu untuk baki saingan Liga M selepas pemain itu menerima tawaran untuk kembali bermain di negara kelahirannya bersama kelab Neftchi Fergana.

Kuvondik menyertai skuad Tok Gajah pada jendela perpindahan kedua Liga M musim lalu dan bermain empat perlawanan termasuk satu perlawanan Piala FA.

Berikutan ketiadaan Kuvondik, Sri Pahang memiliki lima import iaitu Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina), Aleksandar Cvetkovic (Serbia), Manuel Hidalgo (Argentina) dan Mykola Ahapov (Ukraine).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 10:24 PM