NAIB Presiden PBNS, Mustapha Nagoor. FOTO MOHD AMIN JALIL.
NAIB Presiden PBNS, Mustapha Nagoor. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Sri Pahang FC (SFC) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Sabtu ini bakal memberi petunjuk terhadap kedudukan ketua jurulatih NSFC, Azzmi Ab Aziz.

Kedudukan Azzmi selaku pengendali skuad Hobin Jang Hobin musim ini dikatakan sedang dinilai pihak pengurusan kelab dan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) susulan aksi hambar skuad berkenaan dalam tiga aksi Liga Super dan satu aksi Piala FA.

NSFC tewas ketiga-tiga aksi Liga Super iaitu 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), tunduk kepada Selangor FC, 0-4 serta 0-3 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.

Dalam aksi Piala FA pula, pasukan itu tewas 0-4 kepada Selangor, sekali gus tersingkir dalam saingan kalah mati itu.

Kekalahan kepada KL City dilihat paling mengecewakan bukan saja kepada penyokong, malah pegawai NSFC dan PBNS.

Ini berikutan aksi dipamerkan anak buah Azzmi dikatakan lebih teruk walaupun beraksi di laman sendiri dan mendapat sokongan padu daripada penyokong.

Sehubungan itu, PBNS dan NSFC dikatakan memberi peringatan atau kata dua kepada pengendali berusia 44 tahun itu supaya pasukan bimbingannya bangkit dengan persembahan lebih baik dan berusaha mendapatkan keputusan positif pada perlawanan keempat Liga Super bertemu Sri Pahang, Sabtu ini.

Perkembangan terkini itu dinyatakan Naib Presiden PBNS, Mustapha Nagoor yang menjelaskan pihak pengurusan kelab dan PBNS sudah mengadakan perbincangan dengan Azzmi berhubung prestasi pasukan.

"PBNS berbincang dengan Azzmi baru-baru ini berhubung prestasi semasa pasukan dan beliau telah diminta memastikan perlawanan liga akan datang mendapat keputusan yang baik.

"Pada awalnya beliau akan diberi peluang dalam dua aksi liga, tetapi Azzmi sendiri meminta penilaian itu dibuat menerusi satu perlawanan iaitu membabitkan pertembungan dengan Sri Pahang di Temerloh, Sabtu ini.

"Jika prestasi pasukan terus hambar dan berlarutan berkemungkinan ia akan memberi kesan kepada kedudukan dia (Azzmi) sebagai ketua jurulatih pasukan," katanya yang juga Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 10:16 PM