Pemain pertahanan, Mats Hummels (kiri) dan penyerang Jerman, Thomas Mueller diturunkan pada aksi persahabatan berdepan Denmark. FOTO AFP
Pemain pertahanan, Mats Hummels (kiri) dan penyerang Jerman, Thomas Mueller diturunkan pada aksi persahabatan berdepan Denmark. FOTO AFP
AFP

Innsbruck, Austria: Mats Hummels dan Thomas Mueller melakukan penampilan semula dalam bola sepak antarabangsa selepas dua tahun tersisih ketika Jerman terikat 1-1 berdepan Denmark pada aksi persahabatan pagi ini, menjelang Euro 2020.

Florian Neuhaus pemain tengah Borussia Moenchengladbach memberikan Jerman gol pendahuluan pada babak kedua di Innsbruck.

Penyerang RB Leipzig, Yussuf Poulsen kemudian menyamakan kedudukan buat Denmark selepas menerima hantaran menarik daripada perancang tengah Inter Milan, Christian Eriksen.

Kepulangan Hummels bagi membantu mengukuhkan benteng pertahanan Jerman yang bolos 18 gol daripada 11 aksi antarabangsa sebelum ini, tetapi pemain pertahanan Dortmund itu gagal menyekat Poulsen daripada menyamakan kedudukan.

"Ia adalah gabungan persembahan berpasukan," kata ketua jurulatih Joachim Loew.

"Kami bertahan dengan baik, lebih baik daripada perlawanan lalu, tetapi kami membuatkan kehidupan sukar buat kami.

"Ia agak sedikit cuai yang membawa kepada Denmark memperoleh jaringan."

Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand pula mendakwa Jerman mempunyai potensi untuk memenangi kejohanan Eropah tahun ini.

Bagaimanapun, pasukan itu perlu mempamerkan aksi sebenar, apabila berdepan juara dunia, Perancis di Munich pada 15 Jun, kemudian menentang penyandang juara Portugal empat hari selepas itu dalam aksi Kumpulan F.

Skuad Jerman beraksi tanpa beberapa bintang Liga Perdana Inggeris mereka.

Pemain Chelsea, Kai Havertz, Timo Werner dan Antonio Ruediger begitu juga pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan yang direhatkan selepas aksi final Liga Juara-Juara Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 8:24 AM