Jay Jay
Jay Jay
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi, Jay Jay, 66, yang diserang angin ahmar selepas menjalani pembedahan pintasan jantung kini menjalani rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.

Anaknya, Cammy Fauzi berkata, selepas menjalani beberapa sesi fisioterapi, bapanya menunjukkan perkembangan positif dan keadaannya dari semasa ke semasa bertambah baik.

Menurut Cammy, bapanya mengalami lumpuh pada bahagian tubuh sebelah kanan pada awal Jun lalu selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 23 Mei lalu.

"Tidak berapa lama selepas pembedahan itu, kesihatan ayah kembali merosot akibat diserang angin ahmar. Disebabkan serangan itu, ayah lumpuh pada bahagian tubuh di sebelah kanan," katanya.

Terdahulu, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus selamat menjalani pembedahan pintasan jantung selama empat jam dan sedar selepas sembilan jam kemudian.

Bagaimanapun, selepas sedar dari pembedahan, dia tidak boleh menggerakkan tangan dan kaki kanannya seperti biasa.

Menerusi pemeriksaan melalui CT Scan (imbasan tomografi berkomputer), ada sesuatu mengganggu saraf di dalam fungsi otak. Namun, itu hanya bersifat sementara dan tidak serius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 12:25 PM